Daish di Raqqa didesak serah diri

0
57



Beirut: Pakatan militan Syria yang disokong Amerika Syarikat semalam menggesa saki-baki anggota Daish yang terkepung di Raqqa menyerah diri dan berjanji tidak akan mengapa-apakan mereka sekiranya mereka berbuat demikian sebelum akhir bulan ini.

Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang dianggotai pejuang Kurdis dan Arab berkata, mereka kini berada beberapa kilometer dari bandar Raqqa selepas melancarkan serangan ke atas Daish di bandar itu sejak November lalu.

SDF yang turut dianggotai kumpulan YPG Kurdis berkata awal bulan ini, ia merancang melancarkan serangan besar-besaran untuk menawan bandar berkenaan minggu depan selepas menangguhkannya bulan lalu.

Ia bagaimanapun tidak menetapkan tempoh untuk menawan sepenuhnya bandar itu yang menjadi ibu negara sementara Daish di Syria sejak kumpulan berkenaan mengisytiharkan ‘negara khalifah’ di kawasan yang dikuasainya di Syria dan Iraq pada 2014.

Menurut kenyataan yang dikeluarkannya, SDF berkata, rayuannya pada 15 Mei lalu supaya militan berkenaan menyerah diri dalam masa 10 hari amat berkesan dan tempoh itu dilanjutkan sehingga 31 Mei atas permintaan penduduk Raqqa.

SDF berkata, ia memberi jaminan mereka yang menyerah diri tidak akan diapa-apakan, tidak kira jawatan mereka.

“Keselamatan keluarga mereka juga terjamin,” menurut kenyataan berkenaan.

Pakatan itu berkata, kira-kira 3,000 hingga 4,000 anggota Daish masih berada di Raqqa. – Agensi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here