Dakwaan SST 'lebih membebankan' tidak masuk akal – Guan Eng

0
466
Advertisement

KUALA LUMPUR: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan membebankan rakyat berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana kerajaan hanya akan mengutip RM21 bilion setahun berbanding RM44 bilion yang dikutip daripada GST.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, perbezaan sebanyak RM23 bilion itu akan ‘dipulangkan semula’ kepada rakyat.

“Tidak mungkin SST lebih membebankan rakyat berbanding GST apabila jumlah kutipan daripada SST hanya dianggarkan bernilai RM21 bilion setahun, manakala anggaran kutipan GST bernilai RM44 bilion bagi tahun 2018, berdasarkan sasaran kerajaan terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, kenyataan palsu yang disebarkan oleh UMNO bahawa sistem cukai SST adalah lebih membebankan rakyat berbanding sistem cukai GST adalah tidak masuk akal sama sekali.

BACA: ‘Usah keliru, SST bukannya 16 peratus’

BACA: SST ditetapkan pada 6 peratus bagi perkhidmatan, 10 peratus untuk jualan

“Menurut kenyataan mereka, kenyataan saya bahawa kadar cukai jualan di bawah sistem cukai SST sejumlah 10% dan kadar cukai perkhidmatan sebanyak 6% bermakna jumlah keseluruhan cukai yang dikenakan adalah 16%; lebih tinggi berbanding kadar cukai GST 6%.

“Ini adalah tidak benar dan amat mengelirukan, kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya menambah peratusan cukai jualan (sales tax) dan cukai perkhidmatan (services tax),” tambahnya.

Selain itu, Guan Eng turut meminta UMNO dan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bagaimana SST membebankan rakyat berbanding GST.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here