Dana KWAP dikumpul untuk ambil alih liabiliti pencen masa hadapan

0
426
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dana Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang berjumlah RM140 bilion merupakan dana yang dikumpul untuk mengambil alih liabiliti pencen yang ditanggung Kerajaan Persekutuan di masa hadapan.

Dana tersebut tidak akan membawa sebarang pulangan kepada individu atau pekerja kerana caruman hanya dibuat oleh pihak majikan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata walaupun KWAP sudah mengambil alih tugas mengedarkan bayaran pencen kepada lebih 700,000 pesara, dana yang digunakan untuk bayaran tersebut disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dana yang dikumpul oleh KWAP tidak digunakan untuk pembayaran pencen kepada pesara ketika ini. Semua pelaburan yang dibuat adalah untuk menambah jumlah dana yang telah terkumpul supaya pada jangka masa panjang, dana ini boleh mengambil alih pemberian pencen oleh kerajaan.

“Dari segi pulangan yang kami kelolakan sebanyak RM140 juta setakat ini, dana ini tidak melibatkan sebarang pengeluaran cuma pelaburan-pelaburan untuk mengembangkan lagi jumlah dana.

“Saya ingin terangkan di sini tiada bentuk pulangan kepada individu atau pencarum diberikan kerana caruman diperoleh dari majikan sahaja tiada caruman individu terlibat,”  katanya pada sidang media sempena “KWAP Inspire: Environmental Conference 2018,” di sini, hari ini.

Wan Kamaruzaman turut mengumumkan bahawa portfolio pelaburan KWAP dalam pelaburan berlandaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kini berjumlah RM3.8 bilion.

Jelasnya pelaburan dalam ESG akan diteruskan memandangkan ia mampu menjana pulangan yang kukuh pada masa depan.

“Kami memulakan pelaburan dalam ESG pada Disember 2014 dengan dana permulaan RM1 bilion. Setakat ini, enam pengurus dana diberi mandat untuk menguruskan portfolio ESG kami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here