Daniel dinobat juara keseluruhan

0
79
Advertisement



Kuala Lumpur: Pemandu muda China, Daniel Cao melengkapkan musim 2017 dengan kejayaan manis dinobat sebagai juara keseluruhan selepas kejayaan membanggakan di sepanjang Kejuaraan Formula 4 Asia Tenggara FIA 2017 tajaan PETRON yang berakhir April lalu.

Pemandu muda, Muizz Musyaffa dan Nazim Azman masing-masing turut menghadirkan kegembiraan buat peminat tempatan apabila meraih kedudukan ke-3 kategori Rookie Terbaik dan Pemanduan Terbaik pada Anugerah Gala Meritus 2017 dipersembahkan oleh PETRON yang berlangsung di Pusat Penyiaran All Asia Astro, Bukit Jalil, kelmarin.

Bakat Muizz, 16, nyata menyerlah dengan dua kejayaan podium di litar Sepang pada pusingan akhir lepas. Bagi Muizz, kejayaan mendaki pentas malam kelmarin pastinya menyuntik semangat untuk menghadapi musim baru 2018 yang lebih getir.

Nazim, 17, yang juga berlumba dalam saingan di Eropah, terpilih menjuarai kategori Pemanduan Terbaik selepas kejayaan manis memenangi pusingan pembukaan F4 SEA yang diadakan sebagai perlumbaan sokongan GP F1 pada Oktober 2017.

Selain Kejuaraan Keseluruhan, Cao juga meraih kejayaan berganda selepas memenangi kategori Lap Terpantas yang dicatat di Litar Antarabangsa Sepang.

Anugerah Gala MERITUS dianjurkan buat kali kedua sebagai meraikan dan memperakui pemandu muda terbaik yang bersaing pada Kejuaraan F4 SEA yang berlangsung selama lapan bulan merangkumi di Litar Sepang, Thailand dan Filipina.

Cao, yang menjuarai tujuan kejayaan podium sepanjang musim ini mengetepikan cabaran pemandu Thailand, Kane Shepherd dan pemandu muda Belgium, Ugo de Wilde yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan. Hasil kejayaan itu juga membolehkan Cao meraih 12 mata Lesen Super FIA.

“Saya amat bertuah dapat memenangi gelaran juara keseluruhan ini kerana pemandu lain semuanya hebat. Saya berterima kasih kepada Peter Thompson yang menganjurkan saingan F4 ini dan rancangan kini ialah untuk berlumba dalam saingan lebih tinggi termasuk perlumbaan Renaul Asia dan Formula 3,” kata Cao.

Selain kedudukan kedua dalam kategori Kejuaraan Keseluruhan, Shepherd dinobat sebagai Rookie Terbaik mengetepikan saingan pemandu Jepun Hibiki Taira dan Muizz.

Dalam pada, hasil kejayaan cemerlang musim lepas, Muizz juga meraih kejayaan berganda apabila dianugerahkan ganjaran biasiswa untuk meneruskan usaha memajukan diri dalam sukan pemotoran.

“Saya pun tidak menyangka dengan apa yang saya capai dalam F4 musim lepas. Juga, saya amat berterima kasih dianugerahkan Biasiswa-SIC yang membolehkan saya untuk terus berlumba pada musim 2018 yang akan bermula Julai ini. Saya akan berkerja keras memastikan persiapan rapi bagi menghadapi musim 2018 termasuk dalam soal stamina,” kata Muizz.

Terdahulu, Promoter F4 SEA dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Auto Sport Action (AAA) Peter Thompson optimis dengan masa depan Kejuaraan F4 SEA dan berkata, ia bukan setakat membantu melahirkan pemandu muda tetapi juga bakat baru dalam bidang lain termasuk juruteknik, mekanik, jurutera, jurukamera, wartawan dan penerbit TV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here