Daren selangkah demi selangkah

0
191
Advertisement



EMPAT tahun lalu, Liew Daren dikritik hebat susulan kegagalannya menyumbangkan mata kemenangan kepada skuad badminton negara yang tewas 2-3 ditangan Jepun dalam aksi final Piala Thomas di New Delhi, India.

Namun, dia yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2016 untuk bergerak secara profesional, kali ini diletakkan sebagai sandaran bagi membawa cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia di Nanjing, China.

Selepas melakar kejutan menumbangkan pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 dari Indonesia, Jonatan Christie di pusingan pertama, semalam, Daren mengekalkan momentum itu apabila mara ke pusingan ketiga hasil kemenangan ke atas pemain Israel, Misha Zilberman 21-16, 21-16, hari ini.

Kini, Daren, 30, mengintai satu lagi peluang untuk melakar kejutan apabila dijadual bertemu pemain nombor enam dunia dari India, K Srikanth bagi perebutan tempat ke suku akhir, esok.

Srikanth mengesahkan tempat ke pusingan ketiga selepas menewaskan pemain Sepanyol, Pablo Abian 21-15, 12-21, 21-14 dalam aksi pusingan kedua.

“Saya gembira dapat menunjukkan prestasi seperti ini. Kemenangan ke atas Jonatan semalam membuatkan saya benar-benar bersemangat untuk melangkah sejauh yang mungkin pada Kejohanan Dunia kali ini, paling penting saya bermain tanpa tekanan.

“Satu lagi perlawanan penting menanti saya esok. Saya sudah lama tidak bertemu Srikanth, saya fikir sudah lima tahun. Ketika itu saya menang kedua-dua pertemuan dengannya tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana dia kini berada di ranking nombor enam dunia.

“Namun, saya sudah tidak sabar lagi dan diharapkan saya boleh buat satu lagi kejutan esok,” kata Daren yang menghuni ranking ke-38 dunia.

Juara Terbuka Perancis 2012 itu turut mengucapkan terima kasih kepada BAM yang membenarkan ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock duduk di belakang gelanggang bagi membantunya ketika dalam perlawanan.

“Kehadiran jurulatih Seu Bock memang sangat membantu kerana di luar jurulatih boleh nampak dengan jelas apa kesilapan saya lakukan di dalam gelanggang. Jadi, saya berterima kasih kepada BAM,” kata Daren.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here