Dari Nepal ke Malaysia

0
69



Kuala Lumpur: Sanggup mengharungi perjalanan sejauh 15,000 kilometer (km) dengan berbasikal bermula dari Nepal hingga sampai ke Malaysia.

Itu antara cabaran getir dilalui seorang aktivis alam sekitar dan dua pekerja sosial, Anish Dhakal, 22, Dilip Chhetri, 22, dan Nirmal Baral, 39, bertujuan mempromosikan kepentingan menjaga alam sekitar daripada dimusnahkan.

Projek dimulakan mereka pada 30 Disember tahun lalu menggunakan moto ‘Perlindungan Alam Sekitar dan Keamanan Dunia’ bertujuan mendidik masyarakat.

Anish yang juga ketua kumpulan itu berkata, projek itu bermula selepas insiden gempa bumi di Nepal pada April 2015 menyaksikan hampir 9,000 mangsa terbunuh manakala lebih 22,000 yang lain cedera.

“Ilham tercetus selepas bencana alam besar itu berakhir dan menyebabkan ibu negara Kathmandu mengalami kerosakan teruk.

“Melihat tragedi berkenaan, saya membuat keputusan merancang projek World Bicycle Tour bagi memberi kesedaran kepada penduduk setiap negara berhubung kepentingan alam sekitar kepada kehidupan,” katanya.

Menurut Anish, pengorbanan besar turut dilakukan bagi memastikan perjalanan projek berkenaan berjalan dengan jaya walaupun terpaksa meninggalkan keluarga serta rakan.

“Keluarga banyak menyokong pembabitan saya dalam projek berkenaan,” katanya ketika ditemui Harian Metro semalam.

Sementara itu, rakan kepada Anish, Dilip mengakui pengalaman merentasi 12 negara berlainan serta berjumpa pelbagai masyarakat menjadi kenangan terindah.

“Malaysia adalah contoh terbaik berikutan keunikan masyarakat berbilang kaum.

“Pada asalnya, saya menyangka projek ini hanya sekadar melancong dan melawat negara luar. Namun, selepas menjelajah dan bertemu sendiri dengan pihak luar, minda saya mula terbuka untuk menyampaikan mesej kepentingan alam sekitar,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here