Daripada 'Diplomasi Panda' ke 'Diplomasi Durian'

0
22

NANNING (CHINA): Pepatah lama Cina menyatakan “One generation plants the trees; another gets the shade” (apa yang kita lakukan hari ini akan mengubah kehidupan generasi akan datang).

Frasa ini sesuai menggambarkan usaha yang amat besar dilakukan pemimpin Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk mengeratkan hubungan dua hala dengan kuasa ekonomi China.

Ia sesuatu yang tidak mudah walaupun sejarah menunjukkan hubungan unik itu bermula kira-kira 600 tahun yang lepas antara Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming, namun ia masih mengambil masa beberapa dekad untuk membina kepercayaan yang diperlukan antara kedua-dua negara yang mempunyai ideologi politik berbeza.

Untuk hubungan pascamoden, semuanya bermula dengan sepucuk surat diplomatik yang dihantar bapa Najib, Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak kepada Perdana Menteri Cina pada masa itu Zhou En Lai pada 1971, sebelum mengadakan hubungan diplomatik dua hala secara rasmi pada 1974, kepada ‘diplomasi panda’ – yang mana ‘Fu Wa’ dan ‘Feng Yi’ dihantar sebagai ‘simbol keamanan’ sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Kini, tumpuan diarahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang memulakan inisiatif Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, Wilayah Guangxi, sebagai langkah untuk mengukuhkan ‘Diplomasi Durian’.

Bagi menteri berusia 59 tahun itu, festival tiga hari yang diadakan itu adalah lebih daripada membawa durian terbaik di Malaysia (Musang King) serta produk berasaskan Malaysia yang lain seperti sarang burung, nanas, nangka dan banyak lagi, kerana ia merupakan langkah pelbagai untuk menembusi kemungkinan pasaran China yang menguntungkan.

Festival itu, yang pertama kali diilhamkan oleh Ahmad Shabery ketika pertemuannya dengan Naib Gabenor Wilayah Guangxi pada November tahun lepas, ternyata menjadi pendekatan luar biasa apabila masyarakat tempatan berpusu-pusu ke festival berkenaan, dan beratur untuk beberapa jam semata-mata mahu merasai keenakan ‘Mau Shan Wang’ atau Musang King yang terkenal itu.

Ada yang memberitahu pemberita mereka datang dari wilayah lain dan mengambil cuti hanya untuk menghadiri festival yang berakhir pada Ahad, dengan kira-kira 150,000 pengunjung memeriahkan festival yang terletak di hadapan Hang Yang City Mall yang popular itu.

Semasa dua pertemuan rasmi dengan Ketua Parti Komunis China (CPC) Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Peng Qinhua dan Setiausaha CPC Jawatankuasa Perbandaran Qinzhou, Wang Gebing beberapa hari lepas, Ahmad Shabery memilih untuk mendekati mereka dengan menonjolkan perjalanan penuh sejarah 200 buah kapal perang diketuai Laksamana Cheng Ho, kira-kira 600 tahun lampau.

Beliau menegaskan bahawa perjalanan itu yang melalui jalan laut Laluan Sutera, adalah lebih kepada mewujudkan hubungan dua hala berbanding menakluk negara berdaulat yang lain, dan Malaysia ingin menyanjung persahabatan yang lama terjalin dengan membalas budi.

Pendekatan beliau itu sebenarnya telah menyebabkan kedua-dua pemimpin itu merasa terharu apabila berkata bahawa mereka amat tersentuh dengan pengetahuan mendalam menteri Malaysia itu mengenai apa yang telah berlaku semasa perjalanan Cheng Ho, dan mereka memberi jaminan bahawa Malaysia akan sentiasa dianggap sebagai sahabat China.

Bercakap kepada wartawan Malaysia, Ahmad Shabery berkata pendekatan sedemikian bertujuan semata-mata untuk meyakinkan rakyat China bahawa Malaysia tidak mempunyai niat lain melainkan untuk memupuk persahabatan menerusi inisiatif ‘One Belt, One Road’.

“Saya telah bertemu dengan pemimpin mereka, ketua industri dan mereka semua berminat untuk membantu kita. Ini kerana kita harus faham bahawa walaupun mereka sangat terbuka dengan produk kita, kita perlu memastikan persediaan dilakukan dengan sewajarnya. Ini termasuk cara kita memasarkan, membungkusnya, jadi ia kelihatan elok buat mereka.

“Saya dimaklumkan bahawa saiz gudang mereka bersamaan dengan 10 padang bola, itulah sebabnya mereka sanggup menerima hampir semua produk kita. Saya memberitahu mereka bahawa kami memerlukan lebih banyak masa untuk menjadikannya mudah dipasarkan dan dipersembahkan ke pasaran mereka, dan saya membayangkan menjelang 2020, nilai perdagangan kita akan mencecah sekurang-kurangnya RM12 bilion,” tambahnya.

Ahmad Shabery berkata beliau sangat tersentuh kerana mengikut jadual asal, beliau sepatutnya bertemu Gabenor Wilayah Guangxi dan Datuk Bandar Qinzhou, bagaimanapun beliau dimaklumkan bahawa setiausaha CPC kawasan berkenaan, satu peringkat lebih tinggi daripada perwakilan kerajaan, bersetuju untuk bertemu beliau, menandakan rasa hormat yang diberi oleh CPC.

Mengenai isu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan China untuk membawa masuk durian segar, berbanding isi dan pes durian sejuk beku, serta produk berasaskan Malaysia yang lain termasuk sarang burung bernilai tinggi, nangka dan nanas, Ahmad Shabery yakin Malaysia akan memperoleh kelulusan itu, berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir pada festival berkenaan.

Semasa festival tiga hari itu, sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara koperasi serta syarikat China dan Malaysia, yang mana kebanyakan objektifnya untuk menggalakkan pembangunan pertanian, ekonomi dan perdagangan serta untuk terus meneroka kerjasama perniagaan bagi peningkatan nilai.

Peringkat seterusnya, menurut Anggota Parlimen Kemaman itu, adalah menyediakan petani dan usahawan tempatan di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan badan berkaitan lain di Malaysia bagi menghadapi permintaan tinggi serta mencapai sasaran RM12 bilion menjelang 2020.

Sehingga Julai tahun ini, jumlah nilai perdagangan antara dua negara mencecah RM4.66 bilion dan Malaysia kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN di China untuk lapan tahun berturut-turut.

Sepertimana bekas Duta China ke Malaysia Huang Huikang berkata bahawa hubungan Sino-Malaysia perlu meningkat dalam tempoh 40 tahun akan datang untuk mencapai kebergantungan bersama, strategi ekonomi oleh menteri ini dilihat sebagai sesuatu yang sempurna untuk menggalakkan hubungan dua hala dalam tempoh empat dekad lagi yang dikenali sebagai ‘The Diamond Era of China-Malaysia’.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here