Datuk Siti pesan, menyanyilah sebagai pejuang cinta – Syamel

0
47

BINTANG AF Megastar, Syamel akui penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza telah memberi pesanan sebelum dia membawakan lagu Diari Hatimu di AF Megastar Homecoming malam tadi.

Syamel berkata pesanan itu diberi ketika dia meminta izin untuk menyanyikan lagu tersebut daripada penyanyi pujaannya itu.

“Sebenarnya sebelum ini, saya sudah meminta izin Siti Nurhaliza untuk menyanyikan lagunya.

“Ya lah, pada saya tidak manis jika saya menyanyikan lagunya tanpa meminta izin. Sekurang-kurang saya mendapat restu daripada penyanyi terkenal tanah air.

“Saya gembira kerana Siti dengan berbesar hati membenarkan saya menyanyikan lagunya, malah turut memberikan pesanan yang berguna untuk persembahan saya.

“Antara pesanan dan tips yang diberikan kepada saya adalah katanya ‘menyanyilah sebagai seorang pejuang cinta’, apa yang saya faham maknanya menyanyilah dengan seikhlas hati.

“Pesanan itu sungguh memberi makna dan membantu dalam persembahan saya.

“Alhamdulilah, persembahan saya malam tadi mendapat respon yang postitif dari penyanyi asalnya, saya rasa sangat-sangat  terharu,” katanya kepada Astro Gempak.

Syamel ditemui selepas tamat AF Megastar Homecoming yang bersiaran secara langsung dari Royale Theatre Shah Alam, malam tadi.

Siti menyatakan rasa kagumnya menerusi Twitter, sebaik sahaja Syamel selesai menyampaikan lagu tersebut.

Syamel antara 12 daripada 24 bintang yang terpilih untuk mara ke konsert AF Megastar seterusnya bermula minggu hadapan.

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai 12 bintang yang berjaya meneruskan perjuangan di AF Megastar, Syamel akui gembira dan gementar.

“Sebenarnya rasa gementar saya hilang selepas diumumkan antara 12 bintang yang terpilih.

“Namun saya kembali gementar bila memikirkan saya perlu melakukan persembahan bersama bintang lain pada minggu hadapan.

“Apa-apa pun saya bersyukur dan gembira, malah saya akan pastikan saya lakukan yang terbaik di AF Megastar,” katanya lagi.

Selain Syamel, 11 bintang lain yang terpilih adalah Indah, Idayu, Bob, Marsha, Amir Jahari, Adira, Shahir, Amir, Sufi, Azhar dan Ewal.

Keputusan diadili sepenuhnya oleh dua orang juri tetap iaitu Datuk Ramli MS dan Syafinaz Selamat serta juri jemputan, Ziana Zain.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari  www.watchod.com 

Teks oleh: Syafiqah Jalal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here