Daya tahan Bursa cerminkan keyakinan pelabur dan asas ekonomi kukuh

0
280
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasaran saham Malaysia yang ditutup pada 1,858.26 mata pada Rabu, naik 0.54 peratus, daripada penutup sebelumnya, kekal kukuh sejak tiga hari lepas dan ini mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan keyakinan pelabur, kata Bursa Malaysia Bhd.

Walaupun terdapat ketidakpastian apabila pasaran dibuka semula pada Isnin selepas Pilihan Raya Umum Ke-14, tanda-tanda menggalakkan muncul awal dan kekal, dengan sokongan kukuh dilihat di kalangan pembeli tempatan dan asing di pasaran yang kekal stabil sepanjang separuh pertama minggu ini.

Nilai dagangan sebanyak RM7.3 bilion pada Isnin adalah yang tertinggi dalam rekod, dengan kecepatan pasaran harian pada 96 peratus. Pasaran itu dilihat kembali normal hari ini, naik 10.06 mata daripada penutup sebelumnya.

“Fakta bahawa pasaran itu berdaya tahan dan terus disokong sejak tiga hari lepas mencerminkan asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan keyakinan pelabur.”

“Penambahan dua hari cuti membolehkan pasaran membuat keputusan pelaburan rasional yang disokong oleh pertumbuhan pendapatan korporat yang lebih kukuh dan prospek ekonomi yang positif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan dalam satu kenyataan.

Perkembangan yang akan berlaku seperti pembaharuan institusi dan tadbir urus akan meningkatkan daya saing Malaysia sejajar dengan usaha berterusan Bursa Malaysia dalam memperjuangkan tadbir urus korporat di kalangan syarikat tersenarai sebagai penyumbang utama pertumbuhan mampan.

Bursa akan terus meningkatkan inisiatif untuk meningkatkan kedalaman, keluasan dan kekukuhan pasaran modal Malaysia, kata Tajudin.

Sejajar dengan fungsinya sebagai bursa saham negara, Bursa Malaysia telah memastikan langkah pengurusan pasaran yang mencukupi dan mantap telah disediakan untuk mengekalkan pasaran yang adil dan teratur sekiranya berlaku turun naik yang berlebihan, tambahnya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here