DBKL banteras penceroboh laluan bas dan teksi

0
86



KUALA LUMPUR: ”Tidak tahu”, ” kesuntukan masa” dan ”tidak sengaja” adalah antara alasan popular pemandu yang dikenakan notis kesalahan memandu kenderaan persendirian di lorong bas dalam operasi oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Ampang di sini pada Rabu.

Dalam operasi bermula jam 10.30 pagi itu, lebih 40 notis kesalahan dikeluarkan dalam tempoh sejam yang menunjukkan sikap tidak prihatin pemandu di ibu kota mengenai peraturan larangan memandu di lorong khas bas dan teksi.

Selain itu, pemandu yang menggunakan lorong bas juga menyalahkan pemandu lain kerana tidak memberi laluan, kurang peka, kesesakan jalan dan ada yang menafikan melakukan kesalahan itu hingga sanggup bertikam lidah dengan pegawai penguat kuasa bertugas.

Menurut Ketua Cawangan Penguatkuasaan Trafik DBKL Mohd Hisham Izhar sejumlah 18,535 notis kesalahan dikeluarkan bermula Januari sehingga April lepas.

“Walaupun maklumat ditayangkan di VMS (Variable Messaging Signs) dan ada tanda ”Bas, Teksi Sahaja” dicat dengan jelas di permukaan jalan raya, masih ramai yang melanggar peraturan, malah ada yang meletakkan kenderaan di bahu jalan di lorong khas itu menjadikan jalan raya sesak,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan.

Menurutnya, lorong khas bas bertujuan memastikan pergerakan bas lebih lancar dan mengikut jadual ditetapkan walaupun ketika jalan raya sesak bagi memastikan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota tercapai.

Beliau berkata bagi memantapkan penguatkuasaan, DBKL akan menjalankan operasi secara lebih kerap selain bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk menyenarai hitam pemandu yang ingkar.

Terdapat 13 lorong bas yang digazetkan DBKL antaranya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Dang Wangi.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here