Demi Farid Kamil, Yana dah 3 hari tak jumpa Fadzil

0
32
Advertisement

ADIK ipar kepada pelakon kontroversi Datuk Farid Kamil, Yana Samsudin mengakui dia jarang bertemu suaminya, Fadzil Zahari sejak menguruskan kes terbabit dari minggu lepas.

Kata Yana dia bagaimanapun hanya mampu memberikan sokongan moral buat suaminya dan individu sekeliling bagi memastikan urusan berjalan lancar.

“Saya sebagai seorang isteri dan keluarga Farid sentiasa memberikan sokongan penuh. 

“Orang terbabit ada di sana tetapi yang di luar menguruskan segala hal yang paling penat. Saya lihat sendiri betapa tabahnya suami saya sampaikan kurang tidur.

“Bahagian saya pastilah sokongan moral yang tidak pernah putus.

“Rasanya sudah tiga hari saya tidak bertemu suami saya. Tiap-tiap hari dia balik pukul 2 atau 3 pagi, sempat jumpa pun waktu pagi saya salam dengan suami sebelum keluar bekerja,” katanya kepada Astro Gempak.

Yana ditemui pada majlis tayangan program 2018 Media Prima di Majestic Hotel, Kuala Lumpur semalam.

Tambah Yana, dia tidak tertekan dengan ujian yang melanda keluarganya dan bersyukur tiada sebarang provokasi dibuat daripada mana-mana pihak sepanjang kes berlangsung.

“Saya berterima kasih kepada individu sekeliling saya yang sentiasa memberikan sokongan dan mendoakan kami sekeluarga.

“Perkara sebegini baru pertama kali berlaku kepada kami dan adakalanya kami pun hilang arah. 

“Semoga semuanya akan selesai dengan baik,” ujarnya.

Farid yang juga pelakon utama drama bersiri Lafazkan Kalimah Cintamu sebelum ini didakwa di mahkamah atas empat pertuduhan jenayah namun telah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 pada Selasa lalu. 

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @yanasamsudin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here