Dendam Penyu berbalas!

0
354
Advertisement



TERENGGANU FC (TFC) berjaya membalas dendam kekalahan lalu kepada skuad Kuala Lumpur apabila menang 3-1 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dalam aksi pusingan pertama pada Jun lalu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, skuad TFC tewas mudah 0-3 kepada skuad Warga Kota itu.

Aksi hambar kedua-dua pasukan selepas hampir dua minggu berehat ternyata membosankan lebih 2,000 peminat yang hadir.

Sepanjang 30 minit pertama, hanya dua percubaan skuad Penyu mencemaskan benteng Kuala Lumpur menerusi Lee Tuck pada minit ke-14 dan tandukan lemah Igor Zonjic pada minit ke-27.

Bagaimanapun, penyerang sensasi pasukan pelawat, Paula Guilherme berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-32 apabila mudah menyambung sepakan percuma Muhamad Syazwan Andik Mohd Ishak untuk meletakkan skuadnya di depan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim mula memperkemaskan asakan dan hasilnya pada minit ke-38, Abdul Malik Mat Ariff bijak menyambung hantaran Muhammad Hafizal Alias untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Empat minit berselang skuad Penyu hampir menambah jaringan menerusi kapten, Kipre Tchetche hasil kealpaan pertahanan pelawat, namun sepakan pemain kelahiran Ivory Coast itu tersasar di sebelah kanan gawang pelawat yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee.

Bersambung babak kedua skuad yang terkenal dengan julukan Peteh Terengganu Peteh itu bagaikan ‘harimau luka’ apabila terus mengasak kubu pelawat untuk menambah jaringan.

Hasilnya menerusi sepakan sudut Tuck pada minit ke-52, pertahanan import tinggi lampai, Zonjic menanduk cantik untuk jaringan kedua pasukannya untuk mendahului 2-1.

Pada minit ke-71, Tuck hampir menambah jaringan pasukannya tapi rembatan kencangnya dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol.

Ketika permainan berbaki satu minit lagi sebelum ditamatkan, pemain gantian Abdul Latiff Suhaimi menambah derita pelawat apabila meledak gol ketiga pasukannya apabila menolak mudah hantaran Tchetche.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here