'Dengar' guna kulit

0
85



Kuala Lumpur: Teknologi menaip menggunakan gelombang otak dan ‘mendengar’ menggunakan kulit antara dua inovasi paling menarik daripada persidangan tahunan Facebook, F8 di San Jose, California.

Kedua-dua teknologi itu dibangunkan oleh Facebook di bawah projek digelar Building 8 untuk memberi kemudahan kepada pengguna dalam 10 tahun akan datang, kata pengasas Facebook merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Mark Zuckerberg.

Dalam projek pertama, teknologi menaip itu menggunakan sensor dihasilkan Facebook yang menerima input terus daripada rangkaian neural dan menterjemahkan setiap perkataan.

Berdasarkan demonstrasi yang dilakukan, seorang wanita lumpuh seluruh badan dilihat menggerakkan papan kekunci di skrin dengan hanya menggunakan mindanya.

Menerusi kaedah ini, pengguna boleh menaip 100 perkataan seminit hanya menggunakan daya pemikiran.

Ia dikatakan lima kali ganda lebih laju berbanding menaip menggunakan telefon pintar dan dilihat memberi kelebihan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ataupun individu yang lumpuh.

Sementara itu, bagi projek kedua Building 8 pula, individu dapat ‘mendengar’ hanya menggunakan deria sentuhan.

Keadah ini berfungsi dengan melekatkan sensor pada kulit yang dapat membaca getaran bunyi sebelum diterjemahkan oleh otak.

Facebook dikatakan sedang membangunkan perkakasan dan perisian untuk menggerakkan fungsi terbabit secara lebih menyeluruh.

Dalam perkembangan lain, Facebook turut memperkenalkan dua kamera 360 darjah iaitu Kamera X24 dan X6, yang menawarkan pengalaman menonton video realiti maya dengan lebih realistik menggunakan peranti Oculus Rift dan Gear VR.

Facebook juga merancang mengembangkan teknologi ‘Augmented Reality’ (AR) dalam aplikasinya dengan memperkenalkan platform efek kamera baharu.

Menerusi teknologi ini, pengguna dapat menggabungkan alam maya dan realiti dengan hanya melancarkan aplikasi kamera di Facebook.

Selain itu, penambahbaikan Artificial Intelligence (AI) atau kepintaran buatan dan penyambungan data tanpa wayar sepantas 36 Gigabit sesaat sejauh 13 kilometer menggunakan gelombang milimeter (MMW) turut diperkenalkan.

Persidangan F8 yang berlangsung selama dua hari itu bermula Selasa lalu itu bagi memperkenalkan teknologi terbaru dan hala tuju pada laman sosial berkenaan.

Persidangan F8 pertama diadakan pada 24 May 2007 di San Francisco, California.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here