Detik cemas Syazwan

0
37



Pelakon Syazwan Zulkifli berdepan detik mencemaskan apabila terbabit kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak berhampiran Genting Sempah, baru-baru ini.

Ketika kejadian, Syazwan yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cherating, Pahang untuk menjalani penggambaran drama terbarunya berjudul Sehangat Cinta Antasha.

Syazwan ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan dan cuma sakit-sakit badan walaupun keretanya remuk teruk.

“Ketika itu hari sudah petang dan saya lihat langit agak mendung. Gerak hati saya tak berapa ‘sedap’. Tak lama kemudian hujan mula turun dan entah macam mana ketika saya mahu memusing stereng, tiba-tiba rasa sesuatu tak kena pada tayar belakang dan terus terbabas masuk ke longkang.

“Keadaan kereta memang remuk teruk, tapi nasib baik saya tidak apa-apa dan hanya sakit-sakit badan saja. Disebabkan hujan terpaksalah saya menunggu di tempat kejadian hampir sejam sementara menunggu perkhidmatan Uber untuk meneruskan perjalanan ke Cherating.

“Memang cemas ketika itu kerana bukan saja memikirkan kereta yang remuk tetapi turut teringatkan pelakon lain dan kru sedang menunggu saya,” katanya.

Menurut Syazwan, buat masa ini keretanya berada di bengkel di Kuala Lumpur dan dia belum buat keputusan sama ada mahu membaiki atau menjualnya saja.

“Saya akan berurusan dengan pihak insurans dulu dan hal lain tunggu selepas saya selesaikan penggambaran drama ini dulu,” katanya.

Ini adalah kali kedua Syazwan terbabit dalam kemalangan selepas mengalami situasi sama bersama pelakon Nabila Huda pada 2013.

“Lokasi kemalangan kali kedua ini adalah lebih kurang sama dengan lokasi dengan Nabila dulu, cuma kali ini saya memandu bersendirian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here