Dirasuk watak depresi, Bunga Citra Lestari ambil masa 3 bulan untuk pulih

0
24

PELAKON Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) mengaku masih ‘dihantui’ karakter depresif Angel dari filem Surat Kecil Untuk Tuhan (SKUT) biarpun sudah tiga bulan berlalu.

Katanya, dia masih terbawa-bawa kesunyian dan tekanan hidup yang dirasai watak tersebut yang berdepan dengan masalah sosial yang berleluasa di Indonesia iaitu golongan gelandangan dan peminta sedekah.

“Semua orang tahu saya seorang individu yang ekstrovert, out going dan happy-go-lucky. Tetapi filem ini memaksa saya berubah menjadi seorang yang berlawanan daripada sifat semula jadi saya.

“Watak Angel dalam filem SKUT antara karakter yang tidak akan saya lupakan! Emosi yang saya bawakan dalam filem ini larut dalam diri hingga sekarang pun masih susah untuk buang.

“Ketika awal penggambaran pada bulan April lalu saya memberitahu suami saya Ashraf agar bersedia sekiranya melihat perubahan dalam diri saya.

“Ya, memang kami rasai perubahan itu apabila watak itu masuk dalam diri saya. Mujurlah keluarga saya sangat memahami,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana SKUT di Kuala Lumpur baru-baru ini.

SKUT menceritakan kehidupan dua beradik Angel dan Anton yang terpaksa menjadi anak gelandangan yang perlu meminta sedekah selepas kematian orang tua mereka.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila dijaga oleh Om Rudi, seorang ketua sindiket pemerdagangan organ kanak-kanak.

Filem SKUT sudah ditayangkan di Indonesia sejak 25 Julai lalu dan mendapat sambutan luar jangka di negara republik itu.

Selain BCL, SKUT yang diadaptasi daripada novel karya Agnes Danovar itu turut dibintangi Joe Taslim, Aura Kasih dan dua pelakon kanak-kanak Bima Azriel dan Izzati Khanza.

SKUT akan mula ditayangkan di Malaysia pada 3 Ogos 2017.

Teks oleh: Amri Hassan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here