Djokovic kembali bangkit

0
294
Advertisement



SELEPAS memastikan kedudukan 10 teratas di ranking dunia, Novak Djokovic kini mengintai peluang meraih gelaran di Terbuka Amerika Syarikat (AS) pula selepas menjuarai gelaran keempatnya di kejuaraan Wimbledon semalam.

Djokovic yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan melakukan kebangkitan menakjubkan selepas menjuarai cabaran semalam sekali gus membantunya mendakap gelaran ke-13 untuk menghampiri kejayaan dilakar Pete Sampras (14), Rafael Nadal (17) dan Roger Federer (20).

Pada final semalam, Djokovic mengatasi Kevin Anderson 6-2, 6-2, 7-6 (7/3).

Pemain berusia 31 tahun itu meneruskan langkah untuk memburu gelaran di AS pula.

Sepanjang kejayaan memenangi 69 gelaran, 51 kejayaan Djokovic dicapai di gelanggang keras dan 17 daripadanya dimenangi di AS.

Ketika menggapai kejuaraan sulung di Wimbledon pada 2011, Djokovic menambah gelaran di Terbuka AS empat tahun kemudian.

Kini keinginannya mengulangi prestasi sama semakin menebal selepas dia terlepas aksi di New York tahun lalu selepas menarik diri di pertengahan aksi suku akhir cabaran angkara kecederaan siku.

“Saya faham peminat akan menyoal sama ada saya mampu berbuat demikian sekali lagi musim ini. Percayalah, saya mampu dan sedia,” kata Djokovic.

“Jika sebulan lalu ada yang bertanyakan hal sama ada saya boleh menang di Wimbledon, saya memang berbelah bagi menjawabnya kerana saya belum pasti tahap kemampuan sebenar.

“Tetapi dengan kemenangan ini, ia meningkatkan keyakinan lagipun saya memang gemar berentap di gelanggang keras.

“Cabaran di Terbuka AS memang selalu memihak saya. Tahun lalu saya terlepas aksi di sana. Saya kini sedia ke sana dan berikan persembahan terbaik saya di sana,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here