'Doakan saya sihat, raih pingat emas…'

0
15
Advertisement



JAGUH berbasikal negara, Azizulhasni Awang meminta rakyat Malaysia mendoakan dirinya sentiasa dalam keadaan sihat bagi memastikan dia dapat mempamerkan aksi terbaik dan menang sekurang-kurang satu pingat emas pada Sukan Asia Jakarta Palembang, bulan ini.

Pelumba dengan gelaran The Pocket Rocketman itu perlu menjaga kesihatan kerana sebelum ini dia gagal meraih sebarang pingat di Kejohanan Trek Dunia dan Sukan Komanwel Gold Coast akibat jangkitan virus, demam dan batuk.

Berikutan itu, Azizulhasni menegaskan dia kini sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan bagi mengelak terkena jangkitan virus dan demam serta penyakit lain menjelang Sukan Asia 2018.

“Saya juga mengelak daripada terdedah kepada habuk dan debu kerana alahan. Malah kalau ada permaidani saya akan pakai topeng muka dan sentiasa membawa pembasmi kuman selepas bersalaman dengan orang ramai.

“Saya terpaksa buat demikian bagi mengelak terkena demam, batuk teruk dan jangkitan virus yang menyebabkan persembahannya merosot pada Kejohanan Trek Dunia, Mac lalu dan Sukan Komanwel Gold Coast.

“Sebelum ini doktor memang ada memaklumkan saya berisiko mengalami masalah paru-paru tetapi saya tidak ambil serius, namun selepas terpaksa menarik diri daripada acara pecut di Sukan Komanwel saya kena betul-betul jaga kesihatan kerana kalau kena batuk memang susah nak baik,” katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan di Velodrom Nasional Nilai, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu Azizulhasni melahirkan keyakinan bahawa dia mampu menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi acara kegemarannya, keirin di Sukan Asia.

Katanya, semangat dan keyakinannya kini semakin meningkat selepas menang emas dalam acara keirin dan pecut individu pada siri pertama Piala Trek China 2018 bulan lalu.

“Saya juga akan berusaha untuk memenangi emas kedua sama ada menerusi acara pecut individu atau berpasukan di Sukan Asia nanti sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan padu setiap kali saya turun beraksi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here