Doktor hantar e-mel sebelum tembak rakan

0
32


ANGGOTA polis di luar bangunan Hospital Bronx-Lebanon. – Foto Reuters

NEW YORK: Seorang doktor yang menembak mati bekas rakan sekerjanya di sebuah pusat perubatan di New York City, kelmarin, dilaporkan menghantar e-mel kepada syarikat akhbar menuduh pihak hospital menjadi punca kerjayanya musnah.

Salinan kandungan e-mel itu dimuat naik akhbar New York Daily News, semalam, yang dikatakan dihantar oleh suspek, Dr Henry Bello, iaitu beberapa jam sebelum kejadian di Hospital Bronx-Lebanon berkenaan.

Pesuruhjaya Polis, James O’Neill, berkata Bello yang memakai kot makmal berwarna putih, melepaskan tembakan ke arah mangsa selepas menyerbu hospital itu, sebelum cuba membakar dan menembak dirinya sendiri.

Beliau sudah meninggal dunia ketika ditemui pihak polis.

Sementara itu, dalam e-mel yang dihantar kepada pihak media, suspek berkata, pihak hospital menghalang usahanya untuk memperoleh lesen amalan perubatan di New York.

“Pada mulanya, saya diberitahu saya gagal memperoleh lesen kerana saya sering mengasingkan diri.

“Kemudian, ia disebabkan oleh perbalahan dengan jururawat,” kata Bello dalam e-melnya.

Katanya, beliau juga dituduh mengeluarkan ancaman kepada rakan sekerjanya, yang dianggap salah satu daripada aduan palsu yang dikenakan terhadapnya.

Kandungan e-mel itu juga dikatakan tidak menunjukkan sebarang ancaman kemungkinan berlakunya insiden keganasan.

Sementara itu, jurucakap polis New York, berkata beliau tidak dapat mengesahkan sama ada suspek insiden tembakan itu ada menghantar e-mel kepada Daily News.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan bahawa penembak adalah bekas pekerja hospital dan siasatan mengenai kejadian masih diteruskan.

Reuters

SHARE
Previous articleSaya runsing
Next articleLebuh raya mula sesak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here