Drop Shot: Terbuka Malaysia medan pemain negara bangkit

0
5
Advertisement



Selepas aksi hambar di Piala Thomas dan Uber, saya fikir kejohanan yang perlu diberi tumpuan selepas ini adalah Terbuka Malaysia yang bakal berlangsung dari 26 Jun sehingga 1 Julai depan.

Mengapa saya berkata begitu? Sebab saya berasakan kejohanan inilah paling sesuai untuk barisan pemain negara bangkit semula selepas aksi hambar di Piala Thomas dan Uber.

Dengan Sukan Asia di Indonesia bakal berlangsung pada Ogos, Terbuka Malaysia juga paling sesuai untuk barisan pemain negara melakukan persiapan terakhir.

Sebab cabaran di Sukan Asia bukan calang-calang. Dengan sokongan penyokong tuan rumah, diharap ia dapat membakar semangat kesemua atlet negara untuk memberikan yang terbaik di atas gelanggang.

Sering kali apabila bercakap mengenai Terbuka Malaysia yang paling kita ingat adalah satu nama saja – Datuk Lee Chong Wei.

Sebab apa? Sebab jaguh perseorangan negara itu sudah memenanginya sebanyak 11 kali, rekod yang pasti sukar untuk dileburkan oleh barisan pemain tempatan lain.

Ketika kita hanya memberi tumpuan kepada Chong Wei, saya fikir kita juga perlu melihat dan meletakkan kepercayaan kepada barisan pemain negara yang lain.

Untuk saya, paling dinanti-nanti adalah prestasi gandingan beregu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong. Selepas prestasi hambar di Piala Thomas, mereka berdua perlu membuktikan masih relevan untuk digandingkan dengan persembahan cemerlang di Terbuka Malaysia.

Adakah mereka mampu melakukannya? Sama-sama kita saksikan.

Sejak Chong Wei muncul pemain tempatan terakhir menjadi juara di halaman sendiri pada 2016, Terbuka Malaysia dilihat agak suram.

Kali ini, saya harap kegemilangan Terbuka Malaysia akan kembali bersinar dengan aksi mantap pemain tempatan. Tiada yang mustahil.

Jumpa lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here