Dua beradik maut dirempuh ketika dalam perjalanan beli juadah berbuka puasa

0
76



BESUT: Dua beradik terbunuh dalam perjalanan membeli juadah berbuka puasa apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Kampung Raja-Tembila kira-kira 7 malam semalam.

Mangsa, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris itu ialah Muhammad Hafizuddin Che Mat, 21, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan adiknya Muhammad Husaini, 17, pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Tembila, Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata kenderaan pacuan empat roda itu yang dipandu oleh Mohd Azra Ab Rahman, 36, dikatakan dalam perjalanan dari Kampung Raja ke Tembila.

“Ketika sampai di tempat kejadian, kenderaan itu tiba-tiba mengalami kerosakan hingga menyebabkan ia hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang ditunggang dua beradik tersebut.

Katanya, akibat rempuhan itu Muhammad Hafizuddin meninggal dunia di tempat kejadian manakala adiknya Muhammad Husaini dikejarkan ke Hospital Daerah Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun mangsa meninggal dunia kira-kira 3.20 pagi ini ketika sedang dirawat di hospital itu.

Mohd Zamri berkata kedua-dua beradik yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Tembila itu difahamkan tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here