'Dua beranak' ditangkap

0
66



Kluang: Seekor gajah betina berusia 40 tahun bersama anak gajah jantan berusia dua tahun ditangkap Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor di Kampung Seri Lukut, kelmarin.

Timbalan Ketua Pusat Konserversi Gajah Kebangsaan Mohd Khairul Adha Mat Amin yang mengetuai operasi, berkata, tangkapan kedua-dua gajah berkenaan dibuat selepas pihaknya membuat pemantauan dan pengesanan selama sembilan hari yang dilakukan 18 anggota termasuk daripada PERHILITAN Kuala Gandah, Pahang.

Katanya, pihaknya percaya gajah yang ditangkap itu adalah pecahan daripada kumpulan sembilan ekor gajah yang dipercayai datang dari kawasan hutan Panti dan Lenggor untuk mencari makanan di sekitar kawasan Kampung Seri Lukut.

“Operasi dilakukan berikutan aduan pemilik kebun kelapa sawit mendakwa sering berhadapan dengan serangan gajah liar sehingga menyebabkan banyak tanaman mereka musnah sejak tiga bulan kebelakangan ini.

“Kedua-dua gajah itu akan dihantar ke Taman Negara Endau, hari ini (semalam) sebaik selesai memindahkan mereka ke dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di pusat operasi di Kampung Seri Lukut, semalam.

Katanya, kejayaan operasi itu turut dibantu oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Seri Lukut diketuai Ketua Kampungnya, Hasbullah Muhamad yang bertindak sebagai penunjuk arah kawasan serangan gajah.

Sementara itu, Hasbullah berkata, pihaknya berterima kasih kepada pasukan PERHILITAN kerana menangkap dan memindahkan haiwan berkenaan yang sebelum ini menjadi ketakutan dalam kalangan penduduk.

“Walaupun hanya dua daripada sembilan gajah yang sering merosakkan tanaman kelapa sawit penduduk berjaya ditangkap, namun ia mampu meredakan keresahan.

“Diharapkan operasi sama dapat dilakukan lebih giat supaya semua kumpulan gajah itu dapat dipindahkan ke Taman Negara Endau untuk kebaikan penduduk,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here