Dua maut, satu parah dalam kemalangan empat sekeluarga di PLUS

0
72



NIBONG TEBAL: Dua maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah selepas lori yang dinaiki mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan di Kilometer 154.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Nibong Tebal pada petang Jumaat.

Menurut sumber, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu dipercayai berlaku apabila lori jenis ‘bonded truck’ yang dinaiki empat sekeluarga berkenaan melanggar bahagian belakang sebuah lori lain seberat lima tan.

Akibat daripada perlanggaran itu, dua mangsa yang dipercayai suami isteri tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun parah dan anak lelaki berusia empat tahun cedera ringan.

Kesemua mangsa dikeluarkan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Rosmaidi Baharuddin berkata seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Bakap dan Balai Bomba Perai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 5.33 petang.

Katanya, seorang lagi pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here