Dua remaja lemas di Sungai Lubuk Ular

0
110



IPOH: Keseronokan empat sahabat mandi di Sungai Lubuk Ular, Kampung Juang di Simpang Pulai dekat sini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin itu, mangsa Muhammad Izani Shaiful Anuar, 18, dan Fadzlin Ilyana Fauzi Amir, 15, ditemui lemas selepas hanyut ke tengah sungai berikutan arus deras.

Menurut rakan mangsa, Ili Aqila Ahmad Najib, 15, kejadian berlaku apabila Muhammad Izani serta beliau dan seorang lagi rakannya Nur Sadieq Hafizi Hamidun, 18, cuba menyelamatkan Fadzlin yang lemas di tengah sungai selepas terjun dari atas batu.

Katanya, bagaimanapun cubaan itu gagal selepas kedua-dua mangsa hanyut ke tengah sungai berikutan arus deras sebelum tenggelam manakala beliau dan Nur Sadieq dihanyutkan ke darat.

“Saya nak pergi tolong Fadzlin namun Muhammad Izani melarang dan menyuruh saya ke darat kerana bimbangkan keselamatan saya.

“Kedua-dua mereka kemudiannya terkapai dan hilang dari pandangan,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Isnin.

Kedua-dua mayat mangsa telah dijumpai oleh pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai di dasar sungai berkenaan selepas operasi mencari dijalankan.

Sementara itu, ibu kepada Fadzlin, Faridah Shuib, 40, berkata, beliau tidak menyangka perubahan sikap anaknya itu yang kurang bercakap dan suka menyendiri merupakan satu petanda.

“Untuk tahun ini kami tidak pernah berbuka puasa bersama lagi walaupun dalam satu rumah kerana dia lebih suka menyendiri dan duduk di dalam bilik sedangkan sebelum ini dia tidak seperti itu,” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa kini sedang dalam proses untuk dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik HRPB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here