Dua warga Singapura hilang di Gunung Pulai, usaha mencari diteruskan

0
148
Advertisement

KULAI: Usaha mencari dan menyelamat dua pendaki warga Singapura yang dilaporkan hilang di Kulai, Johor pada Isnin, diteruskan hari ini.

Dua pendaki terbabit, seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 27 tahun, dilapor memulakan pendakian di Gunung Pulai pada jam 12.40 tengah hari Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Dzulkhairi Mukhtar, 60 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah bagi usaha mencari dan menyelamat yang dimulakan pada petang hari sama.

Selain itu, kira-kira 40 anggota sukarelawan yang terdiri dari kumpulan pendaki turut menyertai operasi terbabit.

Laporan kehilangan kedua-dua individu itu dimaklumkan oleh ibu kepada pendaki wanita yang dikenali sebagai Lum Jie.

Selepas menerima laporan pada 5.40 petang Isnin, polis telah menggerakkan usaha mencari dan menyelamat di 10 laluan masuk di gunung terbabit namun gagal menjejaki mangsa.

Polis kemudian menerima panggilan kecemasan dipercayai dari mangsa pada jam 10 malam.

Susulan itu, polis memperluas lokasi pencarian berdasarkan isyarat terakhir dari telefon bimbit terbabit namun usaha tersebut turut tidak membuahkan hasil.

Sementara itu, portal Todayonline.com memetik jurucakap Kementerian Luar Singapura berkata, Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bharu sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dalam mengendalikan kes itu.

Tambahnya, beberapa pegawai dari republik itu juga berada di lokasi kejadian bagi membantu keluarga warga Singapura yang terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here