Dugaan wanita yatim piatu

0
69



Ramadan adalah bulan yang penuh barakah dan bulan ujian untuk umat Islam. Kesabaran kita diuji dengan menahan lapar, dahaga, menjaga mata, hati dan lidah daripada perkara yang merosakkan pahala berpuasa.

Bagaimanapun buat wanita yatim piatu bernama Nuraini, ujian dan dugaan yang menimpa dirinya lebih berat apabila dia dijadikan mangsa menjaga sepasang mentua yang lumpuh serta menghidap penyakit Alzheimer.

Lebih menyedihkan, pada bulan mulia ini juga dia dikejutkan dengan berita pernikahan suaminya. Namun, demi kasihkan kedua-dua mentua, Nuraini rela menjaga mereka dengan reda walaupun suaminya meminta merahsiakan ikatan pernikahannya selain mengabaikan tanggungjawab.

Begitulah jalan cerita yang cuba dipaparkan dalam telefilem terbitan Enuja Production Sdn. Bhd berjudul Ramadan Terindah Nuraini yang bakal menemui penonton menerusi slot Cerekarama pada 3 Jun ini di TV3, jam 9 malam.

Sarat dengan drama dan konflik yang pastinya meruntun setiap jiwa yang menontonnya, telefilem arahan Elly Suriaty itu bakal membuatkan penonton tidak senang duduk selain ternanti-nanti apakah pengakhiran hidup Nuraini lakonan mantap aktres Izara Aishah.

Ditemui pada penggambaran telefilem ini April lalu, penerbit Zainuddin Mohd Ismail mengakui teruja dan puas melihat hasil yang diberikan pengarah handalan Elly Suriaty.

Menurut Zainuddin, dia bukanlah bercakap besar, tetapi keserasian dengan Elly membuatkan dia mudah bekerja selain memberi kebebasan mengikut acuannya sendiri.

“Telefilem ini kerjasama kali ketiga kami selepas Ramadan Berteduh Syawal dan Transit Terakhir. Jujur saya seronok setiap kali bekerja dengan Elly kerana saya yakin dia memberikan hasil yang terbaik .

“Malah, sebaik dapat skrip, Elly akan lihat apa yang sesuai dan buat penambahbaikan mana-mana yang perlu. Selain itu, hasil sinematografi yang diberikan Elly juga harus diberikan pujian kerana dia akan pastikan persekitaran babak yang dibawakan mengikut mood dan jalan cerita,” katanya.

Kata Zainuddin, dia tidak kisah berhabis ribuan ringgit untuk menyiapkan telefilem ini kerana percaya Elly memberikan sentuhan yang luar biasa kepada penonton dengan elemen yang mendebarkan.

“Menerusi telefilem ini, Elly meminta kebenaran saya untuk menjalani penggambaran selama 11 hari berbanding penggambaran telefilem yang hanya memakan masa selama tujuh hari saja.

“Bagi saya, tiada masalah untuk melanjutkan sesi penggambaran asalkan produk yang ditampilkan menepati piawaian stesen televisyen dan memuaskan hati semua penonton.

“Lagipun saya tidak kisah untuk mengeluarkan jumlah duit yang banyak terhadap produk yang berkualiti. Saya harap telefilem ini berjaya membuat penonton terpaku melihat aksi yang diberikan setiap barisan pelakon,” katanya.

Selain lakonan hebat Izara, telefilem ini turut dibintangi Amar Asyraf, Pablo Amirul, Mak Engku dan Chacha Maembong.

SELIT ELEMEN KASIH SAYANG

Bercakap mengenai karya ini, Elly berkata, Ramadan Terindah Nuraini bukanlah drama klise seperti drama Ramadan lain.

“Banyak iktibar yang saya cuba selitkan dalam drama ini. Antaranya jangan sesekali kita mempermainkan anak yatim piatu kerana mereka bukan boneka untuk diperhambakan. Selain itu, jangan mudah menghukum manusia kerana manusia itu berubah-ubah.

“Saya juga turut menyelitkan elemen kasih sayang antara ibu bapa. Memaafkan dan menghargai ibu bapa itu sangat penting kerana tanpa mereka hidup ini tidak bererti,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Izara, Elly mengakui memilih pelakon itu untuk memegang karakter sebagai Nuraini kerana watak terbabit begitu sesuai dengan karakter pelakon itu.

“Saya memang nak Izara berlakon dalam telefilem ini kerana saya senang setiap kali bekerjasama dengannya. Kami pernah bekerja dalam Noda Setitik Arak arahan saya tidak lama dulu.

“Selain itu, Izara juga banyak berguru dengan saya dalam beberapa filem lakonannya. Jadi apabila saya ada projek yang memerlukan pelakon utama, saya pasti mahukan Izara kerana percaya dengan bakat dan kredebilitinya,” katanya.

Kata Elly, dia menyukai komitmen dan disiplin yang diberikan pelakon itu.

“Saya kagum melihat personaliti yang ada pada diri Izara. Dia sangat menghargai kerjaya seninya. Dia seorang yang tidak akan bermain telefon di set berbanding pelakon baru sekarang yang gemar melayan media sosial sampai tidak menjaga dan fokus dengan kerja.

“Saya tidak nafikan, media sosial memang perlu, tetapi apabila masuk ke dalam set, seseorang pelakon harus fokus dan menghormati kru produksi. Apa salahnya jika mengambil gambar atau video ketika masa latihan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here