Duka wanita 'menang' RM3.5 juta

0
25



Kuala Lumpur: Terlalu teruja dengan dakwaan palsu kononnya memenangi wang tunai berjumlah RM3.5 juta menyebabkan seorang wanita mudah ditipu RM22,500.

Difahamkan, mangsa diperdaya sindiket berpangkalan di Hong Kong yang mendakwa dia memenangi hadiah itu atas pelaburan pernah dibuat sebelum ini.

Mangsa diarah menjelaskan bayaran RM22,500 untuk caj perbankan selain tambahan RM70,000 lagi untuk pembayaran cukai sebelum wang hadiah itu boleh dihantar ke Malaysia dalam tempoh 10 hari.

Mangsa Yap Yok Ling, 49, berkata, dia sebelum ini pernah membuat pelaburan RM5,000 kepada seorang lelaki warga Hong Kong dikenali sebagai Lu pada Mac lalu.

“Namun baru-baru ini, Lu menghubungi saya dan memaklumkan kononnya pelaburan itu memenangi hadiah sebanyak RM3.5 juta,” katanya semalam.

Yap berkata, dia kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang mendakwa pengurus besar syarikat pelaburan sebelum meminta dia membuat pembayaran sebanyak RM92,500 untuk memindahkan wang hadiah itu ke Malaysia.

Katanya, dia kemudian memasukkan wang berjumlah RM22,500 ke akaun bank milik seorang lelaki tempatan seperti diarahkan,

“Namun pada 27 April lalu, saya dihubungi ‘pegawai’ Kastam Hong Kong meminta saya membayar RM70,000 bagi menjelaskan cukai.

“Lelaki itu mengugut akan menyiasat saya mengikut akta pengubahan wang haram sekiranya wang itu tidak dijelaskan,” katanya.

Menurutnya, dia yang menyedari diperdaya kemudian membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata, penipuan itu taktik terbaru digunakan sindiket luar negara untuk memperdayakan rakyat negara ini.

SHARE
Previous articleWajah ceria 8 beranak
Next articleBakal jadi nyata

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here