Dustin kongsi kedudukan

0
236
Advertisement



OAKVILLE: Dustin Johnson melakar tujuh di bawah 65 sekali gus berkongsi pendahuluan selepas hari ketiga Terbuka Kanada dan mencerahkan peluang untuk mengumpul satu lagi kejuaraan dalam kariernya selaku pemain nombor satu dunia.

Pernah terlepas bergelar juara sebanyak dua kali di Kanada, Johnson menggunakan sepenuhnya keyakinan hasil permulaan baik apabila membenam lima birdie di sepanjang enam lubang pertama untuk menghasilkan dua lagi birdie serta satu eagle di sembilan lubang kedua bagi mengumpul keseluruhan 17 di bawah par.

Dia kini terikat dengan tiga lagi pemain lain di tangga teratas bersama pemain Korea Selatan, Kim Whee (67), An Byeong-hun (66) dan pemain senegaranya dari Amerika Syarikat, Kevin Tway (68).

Dengan 18 gelaran Jelajah PGA termasuk dua yang dimenanginya tahun ini, Johnson akan melangkah ke pusingan terakhir selaku pilihan utama kerana tiga lagi pendahulu itu memburu kejuaraan Jelajah PGA pertama masing-masing.

Hudson Swafford dan Rory Sabbatini pula ketinggalan empat pukulan di belakang dengan 13 di bawah par.

“Saya mahu menang kerana saya sukakan kemenangan tetapi jika menang kali ini, ia akan lebih manis kerana sudah dua kali saya terlepas peluang berbuat demikian,” kata Johnson.

“Saya sukakan lapangan ini, permainan saya juga semakin baik, saya lebih yakin tetapi saya tetap perlu mengekalkan rentak ini jika tidak mahu kecewa lagi.

“Semakin ramai yang mencatat keputusan baik sejak kebelakangan ini. Saya rasa akan ada seseorang yang melakukan catatan terendah esok dan saya harap ia adalah saya.”

Selepas gagal melepasi cut buat kali pertama tahun ini di Terbuka British minggu lalu, Johnson dilihat seolah-olah langsung tidak mampu dicabar di Glen Abbey.

Menamatkan hari pertama dengan catatan tanpa bogey, Johnson memulakan hari kedua dengan tiga birdie berturut-turut.

Pemain berusia 34 tahun itu memulakan hari ketiga dengan ketinggalan tiga pukulan di belakang pendahulu, mencatat par di lubang empat tetapi kembali bangkit untuk membenam birdie di lubang lima dan enam.

Di sembilan lubang kedua, Johnson membenam bogey pertama sejak hari pembukaan dan catatan serupa turut berlaku di lubang 13.

Tetapi birdie di lubang 14 dan 15 serta eagle di lubang 16 mengetepikan semua keraguan terhadap kemampuannya ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here