Duterte ancam penjarakan pengkritiknya

0
46


MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte mengancam memenjarakan pihak yang mengkritik tindakannya menguatkuasakan undang-undang tentera di kawasan selatan itu.

Duterte mengeluarkan ancaman itu beberapa hari sebelum Mahkamah Agung dijangka membuat keputusan bagi mengesahkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan.

Beliau mengisytiharkan pemerintahan tentera di wilayah Mindanao yang mempunyai kira-kira 20 juta penduduk pada Mei lalu, atas alasan bagi menangani ancaman militan Daesh yang semakin meningkat.

Pada masa sama, pemimpin Filipina itu menegaskan beliau tidak akan mematuhi keputusan mahkamah, yang dianggap bercanggah dengan Perlembagaan, sebaliknya hanya mendengar cadangan yang dikemukakan oleh pihak tentera.

“Ia tidak bergantung kepada keputusan Mahkamah Agung. Patutkah saya percaya kepada mereka?

“Apabila saya lihat keadaan masih huru-hara dan anda mahu saya membatalkannya. Saya akan menahan anda dan letak anda ke dalam penjara.

“Kita boleh bercakap mengenai perkara lain dan mungkin berkompromi tetapi tidak apabila kepentingan negara ini dipertaruhkan,” Duterte di sini, semalam.

Sementara itu, pindaan Perlembagaan pada 1987 mengehad tempoh penguatkuasaan undang-undang tentera bagi mengelak salah guna kuasa seperti yang berlaku di bawah pemerintahan diktator, Ferdinand Marcos.

Pindaan itu membenarkan Mahkamah Agung mengkaji semula pengisytiharan undang-undang tentera yang mengenakan tempoh had awal selama 60 hari.

Sekiranya, presiden memutuskan untuk melanjutkan tempoh undang-undang tentera, kongres mempunyai hak untuk mengkaji dan membatalkannya.

AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here