ECRL lancar kempen pengambilan pekerja untuk penuhi sasaran 70 peratus pekerja Malaysia

0
98
Advertisement

KUALA LUMPUR: Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) akan mengadakan kempen pengambilan pekerja di Bentong, Pahang selaras dengan komitmennya untuk mengambil kira-kira 70 peratus pekerja Malaysia dalam pembinaan infrastruktur kereta api berimpak tinggi itu.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek ECRL sepanjang 688 kilometer tersebut berkata, ia akan mengadakan kempen sehari di Dewan Perbandaran Cina Bentong pada 4 Mei mulai jam 9 pagi hingga 5 petang, bersama dengan kontraktor utama projek, China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Bentong, dengan penduduk lebih 100,000 orang, akan mempunyai sebuah stesen kargo dan penumpang mengikut Skim Keretapi ECRL untuk Fasa 1, yang diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada Jun 2017.

“Stesen Bentong akan menjadi antara lapan stesen yang ditetapkan di Pahang di bawah penjajaran ECRL,” kata MRL dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut MRL, pengambilan segera semasa semasa kempen pengambilan di Bentong termasuk pekerja pengurusan, kejuruteraan, pengurusan pembinaan, perdagangan dan kontrak dan kerja makmal.

Ia berkata, graduan baharu dalam kejuruteraan awam serta pekerja pembinaan berkemahiran, separuh mahir, terutama berumur 18 hingga 35 tahun digalak menghadiri temuduga.

“Calon juga berpeluang menyertai Program Latihan Kemahiran Perindustrian ECRL selama tiga bulan yang bertujuan untuk melatih rakyat Malaysia dengan set kemahiran teknologi kereta api. Apabila tamat, pelatih akan diserap sebagai pekerja sepenuh masa sama ada oleh MRL, CCCC atau subkontraktornya,” tambah MRL.

Kempen pengambilan pekerja selama sehari ini juga menawarkan pekerjaan lain seperti pekerja konkrit, pengimpal, juruelektrik serta pengendali jentera pengorek.

Calon perlu membawa resume, foto berukuran pasport serta salinan asal dan fotokopi sijil pendidikan mereka untuk temuduga berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, projek itu berjalan lancar untuk memastikan rakyat Malaysia membentuk 70 peratus daripada 30,000 pekerja yang diperlukan semasa tempoh puncak pembinaan pada akhir 2019.

Menurutnya, kempen pengambilan pekerja di Bentong adalah sebahagian daripada jelajah di seluruh negara yang bermula pada Mac tahun ini yang melibatkan Kuala Lumpur, Kota Bharu, Dungun dan Kuantan.

“MRL dan CCCC juga merancang untuk mengadakan kempen pengambilan pekerja secara aktif di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak untuk terlibat dalam projek infra rakyat berkenaan.

“Kami akan berusaha gigih untuk menggalak pekerja profesional, mahir dan separuh mahir yang berminat dalam infrastruktur kereta api untuk menyertai projek ECRL pada waktu terdekat. Pemindahan teknologi yang berterusan dari projek itu juga akan membolehkan rakyat Malaysia merangkul teknologi kereta api paling moden dan cekap dari China,” tambah Darwis.

MRL adalah kenderaan tujuan khas yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan dan ditugaskan untuk melaksana dan menyerahkan ECRL pada pertengahan 2024.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here