Ee Wei tekad lupakan kekecewaan

0
301
Advertisement



Kuala Lumpur: Selepas tewas 0-3 kepada Jepun di separuh akhir acara berpasukan campuran, perjuangan pemain muda negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia akan diteruskan dalam saingan individu sekali gus diharap mampu mengulangi pencapaian satu emas dan dua gangsa yang dilakar tahun lalu.

Kem negara tetap menaruh harapan kepada beberapa pemain seperti Toh Ee Wei yang diyakini mampu melepasi pusingan pertama, esok.

Ee Wei yang pernah meraih gangsa di Kejohanan Remaja Dunia 2016 mahu mengubati kekecewaan dalam acara berpasukan terutama bagi acara beregu wanita di mana dia bergandingan dengan Pearly Tan.

“Secara keseluruhan, prestasi kami masih lagi boleh diterima (dalam acara berpasukan campuran). Memang sasaran kami untuk mara sehingga separuh akhir namun hasrat kami untuk melakukan lebih dari itu ketika menentang Jepun tidak kesampaian.

“Persembahan saya secara individu pula, tidak terlalu teruk tetapi saya rasa boleh bermain dengan lebih baik,” kata pemain berusia 18 tahun itu

Menurut pemain kelahiran Melaka itu, dia sudah tidak sabar lagi untuk memberikan aksi terbaik bersama Pearly dalam acara beregu wanita dan halangan sulung mereka ialah berdepan Sararat Chueboca-Suphapich Silprakob dari Thailand di pusingan kedua selepas mendapat bye di pusingan pertama.

“Bagi acara beregu campuran pula saya akan bergandingan bersama Choong Hon Jian dan menanti kami di pusingan pertama esok ialah Chamath Dias-Dilmi Dias dari Sri Lanka. Bagaimanapun cabaran terbesar kami ialah di pusingan kedua menentang pilihan ketujuh dari China, Shang Yichen-Li Yijing.

“Saya berharap mampu mara sehingga ke separuh akhir dalam acara beregu wanita, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu apabila kami terkandas di suku akhir,” kata Ee Wei.

Pencapaian terbaik Ee Wei-Pearly tahun ini ialah muncul juara Terbuka Remaja Belanda Mac lalu, selain naib juara di Cabaran Antarabangsa Remaja Thailand.

Tahun lalu, pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao muncul juara bagi acara perseorangan lelaki manakala dua lagi gangsa disumbangkan Eoon Qi Xuan (perseorangan wanita) dan  Chia Wei Jie-Ng Tze Yong (beregu lelaki).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here