Ekonomi diramal tumbuh purata 5.5 peratus tahun ini

0
75
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diramal tumbuh pada purata 5.5 peratus tahun ini dipacu pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji berterusan dan inflasi menyederhana dalam ekonomi domestik, menurut MIDF Research dalam nota kajian.

Unjuran itu selari dengan prestasi ekonomi negara pada 2017 yang merekodkan pertumbuhan 5.9 peratus disumbang permintaan domestik kukuh.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh 5.9 peratus pada suku keempat 2017 melepasi jangkaan pasaran pada 5.8 peratus,” Kata MIDF.

Menurut MIDF, pertumbuhan kukuh suku keempat itu disokong kadar penggunaan sektor swasta dan pelaburan yang tumbuh kukuh.

“Pasaran buruh yang kukuh serta peningkatan pertumbuhan gaji telah memacu penggunaan swasta,” kata MIDF

MIDF bagaimanapun meramalkan pertumbuhan penggunaan swasta akan menyederhana tahun ini disumbang beberapa faktor antaranya perubahan potongan gaji kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikembalikan kepada 11 peratus berbanding lapan peratus.

“Eksport bersih juga kekal utuh disokong permintaan dari negara maju dan membangun selain pemulihan berperingkat harga komoditi,” kata MIDF yang turut meramalkan eksport 2018 akan tumbuh 9.3 peratus.

Selain itu, MIDF berkata beberapa angka lain turut menunjukkan prestasi positif termasuk sektor perkhidmatan yang tumbuh 6.2 peratus tahun ke tahun, pertumbuhan di atas kadar enam peratus bagi tiga suku berturut-turut.

“Sektor pembuatan juga berkembang positif pada 5.4 peratus, pertumbuhan di atas lima peratus untuk empat suku berturut-turut,” kata firma kajian itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here