Ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus tahun ini – Bank Dunia

0
202
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bank Dunia meningkatkan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.4 peratus tahun ini berbanding jangkaan sebelum ini sebanyak 5.2 peratus.

Dalam laporan terkini Bank Dunia mengenai Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi edisi April 2018, ia menyatakan, pertumbuhan Malaysia dijangka kekal kukuh dalam jangka waktu terdekat, walaupun dalam kadar sederhana berbanding 2017.

“Secara agregat, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh pengukuhan berterusan penggunaan swasta,” kata laporan itu.

Laporan itu menyebut, dengan jangkaan penurunan dalam pelaburan awam, pembentukan modal tetap kasar akan dipacu terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan modal sektor swasta, yang dijangka dapat dikekalkan oleh aliran berterusan projek dan pelaburan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Kekukuhan prestasi eksport Malaysia dijangka berterusan pada setengah tahun pertama 2018, selaras peningkatan kitaran berterusan dalam perdagangan global, walaupun pada kadar lebih rendah berbanding tahun sebelumnya,” kata laporan itu.

Sementara itu, menurut Bank Dunia, kerajaan kekal komited terhadap penyatuan fiskal ditengah-tengah jangkaan berterusan sasaran defisit fiskal sebanyak 2.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar yang dicapai pada 2018.

Sistem kawalan sosial Malaysia akan diperkuatkan melalui pengenalan Sistem Insurans Pekerja pada Januari 2018, kata Bank Dunia.

“Ia menyediakan sokongan pendapatan sehingga enam bulan dan bantuan mencari pekerjaan kepada pekerja yang diberhentikan.

“Seterusnya, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada 2020 dan dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024,” kata Bank Dunia.

Menurut laporan itu, risiko penurunan terhadap prospek pertumbuhan Malaysia, terutamanya adalah berkaitan persekitaran luaran.

Khususnya, penyesuaian yang mendadak terhadap keadaan pasaran kewangan global, atau pertumbuhan yang lebih rendah daripada dijangkakan dalam ekonomi utama selain permintaan eksport mungkin mempunyai kelemahan negatif yang tidak seimbang ke atas Malaysia, memandangkan tahap integrasi yang tinggi dengan ekonomi global dan pasaran kewangan, kata laporan itu.

Pengukuhan ekonomi menurut Bank Dunia, menawarkan peluang penting kepada Malaysia untuk mempercepatkan pembaharuan struktur bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dalam memudahkan peralihan ke arah kejayaan mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun-tahun mendatang.

Pada masa sama kata laporan itu, untuk mencapai bajet persekutuan yang hampir seimbang dalam jangka sederhana, memerlukan gelombang pembaharuan yang lebih mendalam untuk meningkatkan kutipan hasil dan memperbaiki kecekapan sektor awam, termasuk kecekapan sasaran program perlindungan sosial seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Apa yang juga penting kata laporan itu, adalah untuk mengukuhkan langkah bagi meningkatkan produktiviti buruh dan melaksanakan langkah dalam memastikan pertumbuhan itu terangkum dan menyediakan peluang kepada semua rakyat.

– BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here