Ekonomi perkongsian Malaysia dijangka meningkat 5 kali ganda

0
101
Advertisement

KUALA LUMPUR: Nilai ekonomi perkongsian Malaysia mencatat kira-kira RM3.4 bilion pada 2016 dan dijangka meningkat lima kali ganda kepada RM17 bilion pada 2020.

Berdasarkan perkembangan pesat ekonomi digital dan asas yang kukuh itu, Malaysia berhasrat untuk menjadi peneraju rantau ini dalam ekonomi perkongsian.

Menurut Laporan Ekonomi 2017/18 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, pertumbuhan signifikan dalam jaringan jalur lebar, kesediaan penduduk melibatkan diri, pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan dan pelarasan peraturan untuk memenuhi keperluan persekitaran perniagaan yang berubah dapat menyokong aspirasi ini.

Di Malaysia, terdapat lebih 18 juta akaun berdaftar di laman rangkaian sosial utama, antara tertinggi di rantau ini, yang mencerminkan kesediaan penduduk untuk menyertai ekonomi perkongsian dan menandakan potensi pertumbuhan yang tinggi dalam sektor ini.

Ekonomi perkongsian merupakan satu ekosistem sosial berteraskan perkongsian aset yang menggunakan platform digital untuk mewujudkan nilai ekonomi melalui peningkatan penggunaan sumber di antara individu, perniagaan dan kerajaan.

Model perniagaan baharu itu mempunyai potensi tanpa had dalam mewujudkan usaha niaga dan penyelesaian inovatif serta mentransformasi firma tradisional bagi meningkatkan sumbangan mereka kepada pertumbuhan sosioekonomi.

Ekonomi perkongsian juga berpotensi untuk menangani cabaran pembangunan seperti perancangan bandar, kehidupan mampan dan pengangkutan lancar melalui penggunaan sumber yang cekap dan peningkatan produktiviti.

Aktiviti ekonomi perkongsian termasuklah penggunaan aset tahan lama, pengedaran semula barangan melalui pasaran sekunder, pertukaran perkhidmatan dan perkongsian aset produktif.

Laporan itu menyatakan bahawa ekonomi perkongsian membolehkan keusahawanan dan bekerja sendiri menjadi lebih mudah dengan adanya 400,000 pekerjaan secara ‘freelance’ di Malaysia pada tahun lepas dan jumlah ini dijangka meningkat kepada 650,000 menjelang 2020.

Selain itu, peluang pekerjaan yang lebih banyak melalui perkongsian digital dapat membantu menangani masalah pengangguran belia.

Pada 2016, pengangguran belia mencatat 10.5 peratus iaitu lebih tinggi daripada kadar pengangguran nasional 3.4 peratus, dan ekonomi perkongsian dijangka mewujudkan kira-kira 300,000 pekerjaan baharu untuk belia menjelang 2020.

Ekonomi perkongsian juga memainkan peranan signifikan dalam memastikan penyertaan lebih ramai rakyat terutama kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah dengan pendapatan purata bulanan RM3,855 dan ke bawah (B40).

Penyertaan golongan B40 dalam perkhidmatan seperti perkongsian kenderaan atau penginapan (Uber dan Airbnb) membolehkan golongan ini memanfaatkan teknologi terkini untuk menjana pendapatan tambahan.

Penyertaan golongan B40 dalam perkhidmatan seperti perkongsian kenderaan atau penginapan (Uber dan Airbnb) membolehkan golongan ini memanfaatkan teknologi terkini untuk menjana pendapatan tambahan serta menambah baik kualiti kehidupan dan meningkatkan mobiliti sosial. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here