Ekonomi Singapura berkembang 5.2 peratus pada Q3 2017

0
13

SINGAPURA: Ekonomi Singapura meningkat 5.2 peratus pada asas tahun ke tahun pada suku ketiga, lebih cepat berbanding pertumbuhan 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam satu kenyataan di sini, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu berkata ekonomi Singapura dijangka berkembang 3.0 hingga 3.5 peratus pada 2017 dan 1.5 hingga 3.5 peratus pada 2018.

Pada suku itu, MTI berkata sektor perkilangan meningkat 18.4 peratus, lebih cepat berbanding pertumbuhan 8.4 peratus pada suku sebelumnya.

Semua kelompok dalam sektor perkilangan berkembang, kecuali kluster kejuruteraan pengangkutan, yang terus mencatatkan penurunan keluaran disebabkan kelemahan berterusan dalam segmen kejuruteraan marin dan luar pesisir, katanya.

Sektor pembinaan menguncup 7.6 peratus tahun ke tahun, meneruskan penurunan 9.1 peratus pada suku sebelumnya, disebabkan oleh aktiviti pembinaanyang lemah dalam sektor swasta dan awam.

Sektor perdagangan borong dan runcit meningkat 2.2 peratus berbanding pertumbuhan 2.1 peratus pada suku kedua, manakala sektor pengangkutan dan penyimpanan meningkat pada kadar 4.6 peratus berbanding peningkatan 3.4 peratus pada suku kedua.

Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan menyusut 2.1 peratus, meneruskan penurunan 2.0 peratus pada suku sebelumnya, dengan pertumbuhan dalam sektor maklumat dan komunikasi mencatat peningkatan 4.9 peratus berbanding 1.5 peratus pada suku sebelumnya.

Sektor kewangan dan insurans pula meningkat 5.9 peratus berbanding pertumbuhan 4.2 peratus pada suku kedua, manakala sektor perkhidmatan perniagaan mencatatkan pertumbuhan 1.4 peratus, menyamai peningkatan 1.3 peratus pada suku kedua.

Industri perkhidmatan yang lain berkembang 2.0 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 3.2 peratus pada suku sebelumnya.

Pertumbuhan, sebahagian besarnya disokong oleh segmen pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial serta seni, hiburan dan rekreasi.

Bagi sepanjang tahun ini, MTI berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura dijangka sederhana, namun kekal teguh.

Secara khususnya, sektor berorientasikan luaran dijangka terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih sederhana, dan menyokong pertumbuhan untuk sepanjang tahun ini, katanya.

Sektor berorientasi domestik seperti kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan sosial, juga dijangkakan kekal berdaya tahan.

Bagi 2018, MTI berkata kadar pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka sederhana berbanding 2017, namun kekal teguh.

Sektor perkilangan dijangka terus berkembang dan memberi sokongan kepada pertumbuhan KDNK secara keseluruhannya.

Secara khususnya, kluster kejuruteraan elektronik dan ketepatan dijangka menyaksikan pengembangan mampan hasil daripada kedudukan permintaan yang sihat dalam pasaran peralatan semikonduktor dan semikonduktor dunia, walaupun kadar pengembangannya mungkin berkurangan pada 2018 ekoran kesan asas yang kurang baik, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here