Ekonomi Singapura tumbuh 4.4 peratus dalam suku-1 2018

0
83
Advertisement

SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.4 peratus bagi asas tahun ke tahun dalam suku pertama, lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya.

Bagi asas tahunan yang disesuaikan mengikut musim suku ke suku, ekonomi berkembang sebanyak 1.7 peratus, menyederhana daripada pertumbuhan 2.1 peratus dalam suku sebelumnya.

Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura menjangka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu bagi 2018 berada dalam jajaran “2.5 hingga 3.5 peratus”.

Angka itu diunjur selepas mengambil kira prestasi kukuh ekonomi Singapura dalam suku pertama dan prospek permintaan luar yang makin bertambah baik, kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan mengenai angka ekonomi terbaharu yang dikeluarkan, hari ini.

Sektor pembuatan berkembang sebanyak 9.8 peratus tahun ke tahun, meneruskan pertumbuhan 4.8 peratus dalam suku sebelumnya.

Pertumbuhan sektor itu dipacu terutamanya daripada kluster elektronik, kejuruteraan kejituan dan kimia, yang berkembang masing-masing sebanyak 19.2 peratus, 14.0 peratus dan 10.0 peratus.

Sektor pembinaan menguncup sebanyak 5.0 peratus tahun ke tahun, kadar penurunan yang sama seperti suku sebelumnya manakala sektor perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun, tidak berubah daripada pertumbuhan yang dicatatkan dalam suku sebelumnya.

Segmen perdagangan runcit menyusut susulan penurunan dalam kuantiti jualan kenderaan motor manakala sektor pengangkutan dan penyimpanan tumbuh 2.8 peratus tahun ke tahun menyederhana daripada 5.3 peratus dalam suku sebelumnya.

Menurut MTI, sektor maklumat dan komunikasi berkembang sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun susut daripada pertumbuhan 6.0 peratus dalam suku sebelumnya disokong oleh segmen teknologi maklumat dan perkhidmatan maklumat dan telekomunikasi.

Pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans meningkat kepada 9.1 peratus tahun ke tahun daripada 6.3 peratus dalam suku sebelumnya berikutan pertumbuhan kukuh dalam segmen pengurusan dana, pengantaraan kewangan dan insurans.

MTI berkata sektor perkhidmatan perniagaan berkembang sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun, lebih pantas berbanding pertumbuhan 0.4 peratus dalam suku sebelumnya.

Mengenai prospek ekonomi bagi 2018, kementerian itu berkata kadar pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka kekal kukuh dengan pertumbuhan disokong terutamanya oleh sektor berorientasikan luar.

Sektor pembuatan, terutamanya, dijangka terus berkembang atas sokongan pertumbuhan berterusan dalam kluster elektronik dan kejuruteraan kejituan walaupun pada kadar lebih sederhana berbanding 2017.

Begitu juga, sektor perkhidmatan beroreintasikan luar seperti kewangan dan insurans, pengangkutan dan simpanan dan perdagangan borong dijangka terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang kukuh.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here