Eksport perabot negara meningkat kepada RM10.13 bilion tahun lepas – Mah

0
52
Advertisement

MUAR: Eksport perabot Malaysia meningkat kepada RM10.13 bilion pada tahun lepas berbanding RM9.52 billion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Perusahaan  Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM8.05 bilion merupakan nilai perabot kayu, manakala selebihnya adalah perabot  daripada pelbagai bahan lain.

 “Negara pengimport terbesar perabot Malaysia pada tahun lepas adalah Amerika Syarikat sebanyak RM3.59 bilion, diikuti Singapura (RM790.1 juta), Jepun (RM785.6 juta), Australia (RM710.5 juta) dan United Kingdom (RM476.1 juta),” katanya pada sidang media selepas pelancaran Muar Furniture Park dan Program Usahawan Perabot Bumiputera (SuperBumi) di Bakri, di sini hari ini.

Acara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Turut  hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mah berkata SuperBumi adalah program yang dilaksanakan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melalui kerjasama strategik dengan  Persatuan Perabot Muar melibatkan syarikat perabot bukan Bumiputera, untuk melatih peserta Bumiputera.

Katanya seramai 10 peserta terlibat dalam program tersebut pada tahun lepas dan jumlahnya akan bertambah kepada 100 peserta pada tahun ini.

“Saya pasti program ini akan diteruskan secara berskala besar dan saya menggalakkan  lebih ramai peserta Bumiputera  untuk terlibat dalam program ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata potensi Muar untuk terus muncul sebagai pemain global dalam industri perabot semakin besar apabila terdapat kira-kira 700 buah kilang di Muar mengeksport 6,000 kontena perabot setiap tahun.

Katanya berdasarkan prestasi tersebut dan sumbangan besar Muar kepada eksport perabot Johor dan Malaysia, kerajaan negeri  telah mengambil inisiatif yang komprehensif untuk memperkasakan industri ini.

Beliau berkata usaha kerajaan untuk menempatkan  semua kilang dalam satu kawasan di Muar Furniture Park merupakan penyelesaian bersepadu kepada masalah yang dihadapi sebelum ini dengan mewujudkan sebuah zon perindustrian yang kemas, teratur dan mengikut piawaian.

“Mengikut perancangan awal, Muar Furniture Park akan mempunyai kira-kira 230 lot industri dilengkapi kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, lampu jalan, sistem telekomunikasi, utiliti air dan elektrik serta tahap keselamatan pada standard yang tinggi,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here