'Eksport' resipi nenek

0
91



Kuala Lumpur: Biarpun menu tradisional pecal kurang popular dalam kalangan penduduk ibu kota, ia tidak mematahkan semangat ibu kepada tujuh anak ini untuk meluaskan keunikan pecal dari Kampung Gajah, Perak ke Cheras dan Sungai Besi.

Peniaga bazar, Aziah Abdul Hamid, 50, berkata, menu yang dijual dengan nama Pecal Perak itu resipi turun temurun dicipta neneknya sendiri.

“Hampir 10 tahun saya berniaga pecal di Kampung Gajah dan mendapat sambutan menggalakkan kerana sambalnya yang menjadi ‘senjata’ keunikan rasa pecal yang sinonim dengan menu tradisional negeri itu.

“Biarpun rata-rata penduduk di Cheras bukan penduduk dari Perak, tidak salah saya mencuba untuk luaskan kenikmatan makanan ini kepada masyarakat luar yang ingin menikmati kelainan,” katanya ketika ditemui Bazar Ramadan Sungai Besi, di sini, semalam.

Menurutnya, meskipun baru hari kedua berniaga di bazar itu, ramai penduduk sekitar tidak melepaskan peluang membeli pecal yang dicipta dengan resipi masyarakat Jawa Perak.

Pengunjung bazar, Mohd Noh Baharin, 53, berkata, dia antara penggemar pecal yang akan memastikan menu itu menjadi pencuci mulut ketika berbuka puasa.

“Sepanjang bulan puasa kali ini, setiap hari saya beli makanan ini kerana ia ada dijual berdekatan dengan rumah saya.

“Tahun lalu saya pergi ke bazar yang jauh sedikit untuk mendapatkannya,” katanya.

Gerai Pecal Perak antara gerai menjadi pilihan Coca-Cola di Bazar Ramadan Sungai Besi sebagai gerai menjual hidangan yang boleh dikombinasikan dengan kenikmatan minuman Coca-Cola.

Pengurus Komunikasi Coca -Cola Malaysia Khairul Anwar Ab Gahani berkata, Coca-Cola menyasarkan peniaga wanita seiring dengan usaha memperkasakan usahawan wanita menjelang tahun 2020.

“Terdapat 100 gerai terpilih di bazar Ramadan seluruh negara dan tujuan utama untuk memperkenalkan kenikmatan Coca-Cola digandingkan bersama juadah berbuka puasa.

“Selain itu, ia usaha membantu mengembangkan perniagaan usahawan wanita tempatan,” katanya.

**Ayuh sertai kami di bazar Harian Metro/ Mak Cun TV3/TV9/Hot FM & Kool FM/Coke untuk menikmati kepelbagaian menu berbuka puasa yang menyelerakan serta segelas Coca-Cola menyegarkan. Pastinya lebih melengkapkan juadah berbuka puasa anda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here