Elaun OKU bekerja lebih tinggi sebagai galakan

0
100



PUTRAJAYA: Orang kurang upaya (OKU) yang bekerja menerima elaun lebih tinggi berbanding OKU tidak bekerja sebagai galakan untuk mendorong golongan itu bekerja, Kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim.

Menurutnya, elaun bulanan bagi OKU tidak bekerja adalah RM200 dan bagi yang bekerja RM350.

Katanya kementeriannya menyediakan pelbagai kemudahan bagi menggalakkan golongan itu bekerja antaranya melalui Program Perkhidmatan Job Coach (PPJC) untuk memberi latihan kepada mereka dan pemberian elaun yang lebih tinggi.

“Ada orang tanya mengapa yang bekerja lebih banyak, ini kerana elaun itu adalah galakan kepada mereka kerana mereka perlu keluar untuk bekerja,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 ahli Majlis Kebangsaan Bagi OKU, di sini hari ini.

Rohani berkata daripada 420,000 OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kira-kira 13,000 kini bekerja di sektor swasta, manakala 3,400 bertugas di sektor awam.

Dalam pada itu, Rohani berkata pelantikan ahli majlis itu adalah bagi tempoh dua tahun bermula 1 Jan lepas hingga 31 Dis 2018 dan dipilih berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka serta kategori OKU yang diwakili bagi memastikan tiada golongan yang ketinggalan.

“Buat pertama kalinya kita lantik seorang ahli majlis OKU kerdil kerana mungkin ada keperluan mereka yang perlu kita ambil kira dan dengan pelantikan ini mereka boleh suarakan sendiri,” katanya.

Mereka ialah Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Azian Sofia Amin (OKU fizikal); Mohd Yazid Bain (OKU pendengaran dan pertuturan); V. Murugeswaran (OKU fizikal); Choo Siew Cheong (OKU penglihatan); Fariz Abd Rani (OKU fizikal dan mewakili Sabah); Jatan Kidu (OKU fizikal dan mewakili Sarawak); selebriti Ras Adiba Mohd Radzi (OKU fizikal); penceramah bebas Dr Ruziah Ghazali (OKU kerdil); ahli akademik dalam bidang sains kognitif Dr Ong Puay Hoon; dan Pengarah WQ Park Health and Rehabilitation Centre Dr Sulaiman Abdul Mutalib.

Rohani berkata majlis itu berperanan menyelia pelaksanaan dasar dan pelan tindakan negara mengenai OKU dan membuat syor kepada kerajaan mengenai semua aspek termasuk sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU.

Katanya tujuh jawatankuasa turut ditubuhkan di bawah majlis itu, meliputi bidang pengangkutan, pendidikan, pekerjaan, kebolehcapaian, keselamatan, pendaftaran dan kualiti hidup.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here