Elavarasan puas hati

0
50
Advertisement



SEREMBAN: Pengendali Melaka United (MU), E Elavarasan akui gembira dengan skuad bimbingannya apabila berjaya menamatkan saingan Liga Super musim ini dengan nota kemenangan, selepas menewaskan Negeri Sembilan, 3-1, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Baginya, kemenangan itu bukan sekadar memastikan skuad Hang Tuah meraih tiga mata, tetapi lebih penting pastinya memberi motivasi dan keyakinan tinggi kepada pemain dalam persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan malam ini (malam tadi) kerana pemain berjaya menunjukkan komitmen tinggi dalam permainan dan mencipta banyak peluang jaringan.

“Biarpun pada separuh masa pertama kurang memberangsangkan apabila tidak banyak peluang terbaik dapat dicipta susulan tekanan yang diterima daripada pemain Negeri Sembilan, namun ia berjaya diubah pada separuh masa kedua.

“Saya rasa kekurangan Negeri Sembilan yang tidak dapat menurunkan barisan terbaik malam ini sedikit membantu kami melaksanakan tugas dengan berkesan dan mendapatkan kemenangan,” katanya selepas perlawanan malam tadi.

Selepas menamatkan semua perlawanan, MU mengumpul 31 mata untuk menduduki tangga ketujuh carta liga manakala Negeri Sembilan terus menghuni tangga kedua tercorot dengan 15 mata.

Mengulas lanjut, Elavarasan berkata, pihaknya puas hati dengan pencapaian pasukan berkenaan selepas musim kedua dalam Liga Super dan kedudukan itu bukan sahaja dapat menepis tanggapan sesetengah pihak tetapi membuktikan MU mampu memberikan saingan yang baik dalam liga utama itu.

“Menduduki tempat ketujuh carta adalah suatu pencapaian yang baik dan membanggakan kerana saingan liga sudah semakin kompetetif. Walaupun saya mengambilalih tugas pada pertengahan musim, namun saya tetap puas hati dengan pencapaian pasukan ini,” katanya.

Beliau berkata, fokus MU kini adalah menghadapi saingan Piala Malaysia dan beliau berharap pemain pasukan itu terus kekal memberikan persembahan terbaik bagi memastikan pasukan mampu melangkah lebih jauh dalam perebutan piala berprestij itu.

Pihaknya mengakui saingan merebut trofi terunggul itu kali ini dijangka lebih mencabar kerana semua pasukan yang layak memiliki kekuatan tersendiri dan berkeupayaan melakukan kejutan.

“Kami akan membuat persiapan lebih rapi untuk memastikan setiap kelemahan dalam pasukan diatasi sebaik mungkin dan berharap dapat melangkah lebih jauh musim ini selepas berjaya ke suku akhir musim lalu.

“Saya yakin dan percaya, dengan pencapaian dalam Liga Super yang amat memberangsangkan, MU mampu memberi tentangan dengan mana-mana pasukan yang akan ditentukan nanti.

“Kami mahu mendapatkan keputusan yang terbaik di peringkat kumpulan dan seterusnya mencipta kejayaan lebih baik berbanding musim lalu,” tegas Elavarasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here