Elena tinggalkan hlive! ikut suami

0
146
Advertisement



AKUR dengan tanggungjawab sebagai isteri, pelakon dan pengacara, Elena Sui berkongsi bakal mengikut suami, Ahmad Faisya Mohd Bustaman, 32, yang dihantar bertugas ke sebuah negara timur laut Afrika pertengahan September ini.

Elena, 26, atau Nor Eleena Hamzah berkata, disebabkan itu dia terpaksa berhenti selaku pengacara program hlive! dan melupakan kerjaya lakonan untuk seketika.

“Suami saya adalah peguam untuk syarikat cari gali minyak. Jadi, dia dihantar untuk bertugas ke sebuah negara di Afrika yang berbahasa Arab.

“Sudah tentu dia tidak mahu melepaskan peluang diberikan. Sebagai isteri, saya perlu mengikutnya walau ke mana juga.

“Saya secara rasmi berhenti daripada hlive! minggu depan selepas genap dua tahun mengendalikan program itu. Bukan saja rakan sekerja sedih, saya pun, tetapi nak buat macam mana.

“Saya berasakan lebih afdal kalau mengikut suami daripada saya tinggal di sini. Apatah lagi sepanjang kami berkahwin ditambah dengan komitmen kerjaya, diakui tanggungjawab terhadap suami ada ketika terabai,” katanya kepada Harian Metro.

Elena yang popular menerusi watak Inara dalam drama Suri Hati Mr Pilot berkata, dia akan menjadi suri rumah di sana selain ingin fokus dalam mendapatkan zuriat.

Dalam masa sama, menurut Elena suami tidak menghalang dirinya pulang ke tanah air sekiranya mendapat tawaran sesuai.

“Buat masa sekarang, saya akan menetap di sana dahulu untuk tempoh tiga tahun. Namun, memandangkan ia projek antarabangsa jadi jangka masa tidak menentu.

“Saya juga berharap peluang ini membolehkan kami dikurniakan rezeki cahaya mata selepas lebih setahun bekahwin.

“Insya Allah, kalau selepas ini ada tawaran dalam bidang hiburan seperti berlakon atau mengacara sudah tentu saya akan pertimbangkan. Jika sesuai dan menarik untuk dibawa, tidak salah. Suami pun tidak menghalang jika saya perlu pulang ke tanah air untuk berkarya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here