Emas buat Hakimi, Rayzam gangsa

0
14
Advertisement



KUALA LUMPUR: Dua atlet olahraga negara yang ketika ini berada di luar negara bagi menyertai kejohanan tampil cemerlang apabila masing-masing meraih pingat emas dan gangsa.

Atlet Program Podium, Muhammad Hakimi Ismail unggul apabila menjuarai acara lompat kijang lelaki dalam Kejohanan Olahraga Piala Uzbekistan yang berlangsung di Tashkent, Uzbekistan, hari ini.

Hakimi mencatat jarak lompatan sejauh 16.61 meter (m) dan jarak itu diperoleh pada percubaan terakhir sekali gus pencapaian terbaik Hakimi musim ini.

Bagaimanapun, catatan itu belum menyamai rekod peribadi terbaik miliknya yang juga rekod kebangsaan iaitu 16.77m yang dicipta di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu.

Tetapi ia satu pencapaian yang baik tatkala dia kini dalam persiapan untuk menghadapi temasya Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia yang dijadual membuka tirai pada Ogos ini.

“Saya rasa ini satu permulaan yang baik untuk Sukan Asia,” kata Hakimi ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Rayzam Shah Wan Sofian pula memenangi pingat gangsa dalam acara 110m lari berpagar dengan catatan masa 13.86s pada Kejohanan Zeulenroda International Meet 2018 yang berlangsung di Zeulenroda, Jerman.

Emas acara itu menjadi milik Dal Molin Paolo dari Itali dengan catatan masa 13.54s sementara perak diraih Balnuweit Erik dari Jerman (13.57s).

Rekod kebangsaan acara itu milik Rayzam sendiri iaitu 13.67s yang dicipta di Kurpfalz Gala, Weinheim, Jerman pada Mei 2017.

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here