Empat lelaki samun kedai emas di Seri Kembangan

0
68



KUALA LUMPUR: Empat lelaki melarikan barang kemas dalam satu kejadian samun di sebuah kedai emas di sebuah pusat beli-belah di Seri Kembangan, di sini malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Serdang Supt Lee Wai Leong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, kesemua suspek memakai topi keledar bertutup penuh dan dua daripada mereka bersenjatakan pistol sewaktu melakukan rompakan.

Menurutnya, ketika kejadian seramai lima pekerja termasuk pengawal keselamatan berada di premis itu.

“Seorang suspek telah mengacukan pistol kepada pengawal keselamatan premis berkenaan menyebabkan dia tidak mampu berbuat apa-apa.

“Suspek lain pula bertindak memecahkan meja pameran dan melarikan barang kemas,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Wai Leong berkata setakat ini pihaknya belum dapat memastikan kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat dalam premis berkenaan bagi siasatan lanjut.

“Kejadian ini kali pertama berlaku di kedai tersebut walaupun ia telah lama beroperasi di pusat membeli belah itu,” katanya.

Beliau berkata nilai kerugian belum dapat ditafsirkan dan gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan menerusi Ops Tutup dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here