Enam rakyat Malaysia ditahan, disyaki terlibat dengan kumpulan militan Daish

0
53



KUALA LUMPUR: Enam rakyat Malaysia ditahan dalam satu operasi yang dijalankan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia kerana disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan pengganas Daish.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, keenam-enam lelaki itu ditahan di beberapa lokasi iaitu Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor, dengan suspek pertama ditahan pada 23 Mei.

Suspek pertama, Mohd Muzafa Arieff bin Junaidi, 27, tampil menyerah diri selepas pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan media meminta orang ramai mengesan kedudukannya.

Mohd Muzafa yang bekerja sebagai penternak lembu dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan senjata api untuk kegunaan kumpulan pengganas di Malaysia.

Turut ditahan adalah dua beradik, seorang guru agama dan peniaga atas talian, yang disyaki membantu pergerakan militan di Syria. Kedua-dua mereka adalah saudara kepada Muhammad Fudhail Omar, yang merupakan orang yang bertanggungjawab mengetuai serangan ‘lone wolf’ di Sabah, Ogos tahun lalu.

Seorang pesara tentera berusia 54 tahun juga ditahan, yang dituduh menyalurkan RM20,000 kepada militan Syria melalui beberapa transaksi.

Dua lagi suspek ditahan kerana menyokong dan membantu kumpulan militan di Syria, bagaimanapun tidak didedahkan identitinya.

Setakat ini, lebih 250 individu ditahan antara 2013 hingga 2016 kerana disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan militan Daish.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here