Essential Phone berciri modular

0
28



BEKAS pengasas sistem operasi Android, Andy Rubin kini membina empayar baharu dalam segmen telefon pintar dengan melancarkan Essential Phone yang menumpukan rekaan skrin penuh serta penggunaan teknologi modular.

Essential Phone dilengkapi skrin 5.7 inci dengan paparan Quad HD 2560×1440 pixel yang menggunakan nisbah 19:10 manakala kerangka peranti ini dihasilkan dengan bahan titanium serta kemasan seramik pada bahagian belakang.

Bagi ciri modular pula, Essential Phone dilengkapi dua titik penyambung magnetik pada bahagian belakang bagi membolehkan modul tambahan dipasang pada bahagian terbabit.

Sehingga kini modul tambahan ditawarkan adalah kamera 360-darjah dan dock khusus untuk pengecasan tanpa wayar.

Bagi keupayaan gambar pula, Essential Phone dilengkapi kamera hadapan 8 megapixel (MP) yang berupaya merakam video beresolusi 4K manakala kamera belakang menggunakan dwi lensa 13MP yang dikatakan boleh menangkap lebih 200 peratus cahaya daripada kamera biasa.

Peranti ini dijana dengan sistem operasi Android dengan cip pemprosesan Snapdragon 835, memori 4GB RAM, storan 128GB dan bateri 3040mAh.

Peranti ini hanya boleh dipra-tempah di Amerika Syarikat dengan harga AS$699 (RM2,999) dan hingga kini masih tiada maklumat lanjut berhubung pasarannya di Malaysia.

Rubin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Essential meninggalkan syarikat teknologi gergasi, Google pada 2014 sebelum membuat keputusan menubuhkan syarikat Essential pada 9 November 2015.

Peranti Essential Phone menjadi produk telefon pintar pertama syarikat terbabit sejak ia ditubuhkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here