Faiz bawa KELAR ke Tioman

0
14



Kuantan: Kelab Anak Perantau Rompin (KELAR) membuktikan kesungguhan apabila muncul juara Kejohanan Bola Sepak Anak-Anak Pahang Lembah Klang selepas menewaskan Kelab Warga Pekan Lembah Klang (PEKAN KV) 2-1 di Stadium Mini Institut Penilaian Negara (INSPEN), Kajang, Selangor.

Kejayaan muncul juara edisi kedua kejohanan itu melayakkan pasukan diterajui Presiden KELAR, Herman Awang membawa pulang wang tunai RM8,000, piala pusingan dan pakej melancong ke Pulau Tioman.

Herman berkata, selepas kecewa pada kejohanan edisi pertama tahun lalu kebangkitan berjaya dibuktikan pemain yang mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang saingan seterusnya menjulang kejuaraan.

Katanya, kemenangan ke atas PEKAN KV pada perlawanan akhir hasil kerjasama semua pemain yang turun dengan misi menjulang kejuaraan walaupun berdepan laluan sukar dan penuh ranjau.

Kejayaan menjulang kejuaraan menjadi hadiah begitu bermakna kepada pemain yang tampil penuh bersemangat pada final walaupun di atas kertas kemenangan lebih berpihak kepada lawan yang membariskan pemain berpengalaman.

Gol kemenangan pada masa kecederaan oleh penyerang lincah Faiz Soffian selepas kedudukan terikat 1-1 berjaya menobatkan KELAR sebagai juara musim ini selepas menjinakkan beberapa pasukan bergelar jaguh musim lalu termasuk Kuala Lipis.

“Kejayaan pada edisi kedua ini akan menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk melakar pencapaian lebih membanggakan pada saingan di Lembah Klang,” katanya.

Herman berkata, prestasi membanggakan musim ini diharap diteruskan pada saingan edisi ketiga tahun depan yang dijangka lebih mencabar dengan penyertaan lebih banyak pasukan berbanding 11 tahun ini.

Sementara itu, Pengurus PEKAN KV Ahmad Syukry Ibrahim berkata, pemain sudah mempamerkan kesungguhan seawal perlawanan namun nasib tidak menyebelahi pasukannya yang turut kecundang pada final musim lalu.

“Saya harap kegagalan musim ini menjadi pendorong kepada pemain untuk melakukan yang terbaik pada saingan edisi ketiga kejohanan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here