FAMA import 2 juta kelapa menjelang Ramadan

0
83



Kepala Batas: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuat persediaan mengimport dua juta biji kelapa bagi memastikan bekalan itu mencukupi menjelang Ramadan, bulan depan.

Secara purata, sejuta biji kelapa diimport sebulan dari Indonesia, tetapi permintaan untuk bahan berkenaan dijangka meningkat sepanjang Ramadan terutama daripada peniaga kuih.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, selain kelapa, bahan lain seperti cili dan daun sup turut mencatatkan peningkatan permintaan setiap kali Ramadan.

“Bagi memastikan orang ramai memperoleh barang keperluan sempena sambutan Ramadan, FAMA akan membuka 668 Pasar Tani Pra Ramadan di seluruh negara.

“Ia akan disusuli Pasar Tani Ramadan dan Pasar Tani Pra Syawal bagi memudahkan orang ramai membeli barang keperluan pada harga istimewa iaitu antara lima dan 20 peratus lebih murah berbanding di pasar berhampiran,” katanya selepas merasmikan Seminar Kuasai Wang, Kuasai Keuntungan (KWKK) di Hotel Seri Malaysia, dekat sini, semalam.

Semua pasar tani itu menjual tujuh kumpulan produk iaitu ayam, ikan, produk sejuk beku, barang kering, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan nilai jualan dicatatkan 150,000 usahawan di bawah naungan FAMA akan mencecah RM2 bilion tahun ini berbanding RM1.8 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, nilai jualan itu turut membabitkan RM900 juta dihasilkan peniaga pasar tani, RM600 juta daripada pengusaha ladang kontrak manakala bakinya menerusi usahawan agro makanan serta sejuk beku.

“Kita menggalakkan usahawan menceburi bidang perniagaan sejuk beku kerana permintaan untuk produk berkenaan sentiasa ada terutama di kawasan bandar.

“Kebanyakan masyarakat bandar bekerja dan mereka memerlukan produk yang boleh dimakan segera,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here