Farizal tak rela gawang bocor

0
223
Advertisement



BUKAN mudah untuk memastikan gawang gol tidak dibolosi dan senario itu diakui sendiri penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias yang perlu berhati-hati apabila turun beraksi bagi memastikan tidak melakukan kesilapan mudah untuk mengelak pasukan lawan ambil kesempatan mencipta jaringan.

Malah Farizal enggan berada dalam tekanan apabila sekali lagi akan turun untuk mempertahankan kubu skuad Harimau Selatan apabila menentang Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selasa ini.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu juga bersyukur tatkala penampilan sembilan perlawanan dalam saingan liga berjaya memastikan gawang gol tidak dibolosi dan akan berusaha sedaya upaya bagi memastikan lima gol bolos selepas mengharungi 14 perlawanan kekal sehingga tamat saingan liga.

“Bukan mudah untuk mempertahankan lima gol yang bolos sehingga kini. Oleh itu kami akan cuba untuk pastikan ia kekal sehingga tamat saingan liga. Apa yang penting kami harus fokus dalam setiap perlawanan yang semakin mendebarkan.

“Semuanya hasil kerjasama berpasukan malah kemenangan 1-0 ke atas Pahang baru-baru ini bukanlah disebabkan faktor nasib tetapi kesungguhan kami untuk menang dan kami sekali lagi akan menentang skuad kendalian Dollah Salleh dan saya jangkakan lebih sengit.

“Apa pun kami harus kekalkan momentum dan sentiasa konsisten apabila berdepan Pahang nanti. Kami tidak boleh berada dalam keadaan selesa kerana ia boleh mengakibat kami akan leka dan apa yang disasarkan nanti tidak membuahkan hasil. Sebaliknya kami harus tenang untuk aksi nanti,” katanya kepada Sukan NSTP.

Farizal juga menegaskan apa yang perlu dilakukan apabila berdepan skuad Tok Gajah lebih terarah beraksi dengan komitmen tinggi tatkala taktikal menyerang dan bertahan secara berpasukan dan membentuk kombinasi mantap pasti menjadi kunci utama untuk memburu kemenangan.

Malah katanya, bukan mudah berdepan Pahang apabila beraksi di Kuantan kerana pasukan itu pasti akan turun bersungguh-sungguh untuk tebus kekalahan 0-1 baru-baru ini dan setiap pemain JDT harus menterjemahkan corak permainan mantap dan sentiasa fokus dalam perlawanan itu nanti.

“Saya juga berharap setiap peluang yang dimiliki barisan serangan JDT mampu dinoktahkan dengan jaringan. Malah benteng pertahanan juga kena memainkan peranan untuk pasti pasukan lawan tidak mudah melepasi benteng.

“Dalam bola sepak ia perlu seimbang kerana jika barisan serangan berjaya menjaringkan gol, benteng pertahanan pula tidak boleh dibolosi dan sudah tentu kami enggan keciciran mata dan berharap rakan sepasukan beri yang terbaik dalam aksi itu nanti,” kata Farizal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here