FAS intai jurulatih baru

0
54
Advertisement



SHAH ALAM: Empat calon jurulatih baru kini berada dalam radar Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi membimbing skuad The Red Giants musim depan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon hari ini bagaimanapun identiti calon berkenaan untuk mengisi tempat jurulatih Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir tidak didedahkan.

“Kami sedang mengkaji sama ada jurulatih sedia ada perlu digantikan atau tidak memandangkan ramai penyokong mengatakan punca kekalahan Selangor adalah daripada Nazliazmi.

“Keputusan ini tidak boleh dilakukan terburu-buru kerana pihak pengurusan baru FAS juga baru megambil alih pengurusan dalam tempoh tiga minggu.

“Kita sedang menilai semua jurulatih tempatan dan luar. Buat masa ini sudah ada empat calon namun kami perlukan masa jika pasukan benar-benar perlukan perubahan musim depan,” katanya yang ditemui media selepas Bengkel Perbincangan FAS 2018, di sini hari ini.

Pada majis itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berangkat.

Hadir sama Presiden FAS, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Nazliazmi dilantik sebagai jurulatih tetap mengantikan P Maniam pada 3 April lalu dan kemampuannya untuk terus membimbing pasukan diragui segelintir penyokong selepas Selangor tewas kepada Pahang 2-0 pada final Piala FA dan sekadar menamatkan kempen Liga Super di tangga kelapan.

Namun Johan menjelaskan bahawa Nazliazmi tidak seharusnya dipersalahkan sepenuhnya atas prestasi Selangor musim ini.

“Nazliazmi sudah melakukan yang terbaik buat pasukan kerana Selangor mampu ke pentas final Piala FA dan juga tidak tersingkir dalam saingan Liga Super musim hadapan.

“Dia mewarisi skuad Selangor dari pihak pengurusan dahulu dan sememangnya kriteria yang ada pada pemain sangat sesuai dengannya.

“Bagi FAS dia sudah melakukan yang terbaik namun Nazliazmi perlukan lebih masa untuk matang dan keputusan muktamad pasukan masih belum dilakukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here