Federer kejar rekod

0
33



London: Dua belas bulan selepas menamatkan musimnya lebih awal sesudah kalah mengaibkan pada separuh akhir, Roger Federer (gambar) kembali ke Wimbledon sebagai pilihan utama untuk memecah rekod lapan kejuaraan sekali gus muncul pemenang tertua kejohanan itu.

Bintang Switzerland yang akan berusia 36 tahun Ogos ini, menempelak pengkritik yang berasakan dia tidak mampu apabila dia tewas kepada Milos Raonic dalam lima set di gelanggang tengah pada 2016.

Kekalahan itu memaksanya menarik diri daripada baki musim itu untuk berehat kerana kecederaan lutut, menyebabkan gelaran Grand Slam miliknya kekal 17 sejak 2012.

Setahun kemudian Federer kembali untuk memecah rekod tujuh kejuaraan Wimbledon dikongsi bersama Pete Sampras.

Ketika pencabarnya Andy Murray dan Novak Djokovic agak tidak konsisten manakala Rafael Nadal turut dibuai kebimbangan sama ada lututnya mampu menangani tekanan gelanggang rumput, Federer sekali lagi tampil sebagai pencabar utama.

Federer, yang merangkul kejuaraan Terbuka Australia kali kelima Januari lalu, akan hadir di Wimbledon dengan rangsangan kejuaraan kesembilan di gelanggang rumput Halle dan masih segar kerana melupakan musim tanah liat.

Bagaimanapun, dia tak memandang remeh tiga pencabar utama yang mana dia sudah berkongsi kejuaraan Wimbledon sejak kejayaan sulungnya pada 2003.

“Jika Andy menghampiri 100 peratus secara fizikal, saya anggap dia pilihan utama untuk menang. Mudah saja. Begitu juga bagi Novak dan Rafa,” kata Federer yang akan memulakan kempen Wimbledon menentang Alexander Dolgopolov dari Ukraine.

“Saya fikir setiap orang mempunyai peluang sama rata. Setiap orang mempunyai jalan cerita masing-masing ketika ini.”

Bagi jalan cerita tenis pada 2017, Federer berkongsi tangga teratas bersama Nadal selepas pemain Sepanyol itu menafikan pengkritiknya dengan kejuaraan Terbuka Perancis kali ke-10.

Ia membolehkannya mengumpul 15 kejuaraan Grand Slam, satu mengatasi Sampras dan hanya tiga di belakang Federer. AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here