Fedtri sambut anak ketiga pada 1 Ramadan

0
85


AHMAD Fedtri Yahya bersama anak ketiganya yang dilahirkan semalam di HUKM. – Foto Ihsan Ahmad Fedtri Yahya

KUALA LUMPUR: Ketika umat Islam bersiap sedia untuk bersahur bagi memulakan ibadat puasa pada 1 Ramadan, personaliti televisyen terkenal, Ahmad Fedtri Yahya, berdebar di bilik pembedahan menyambut kelahiran anak ketiga.

Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3 itu bersyukur apabila isterinya, Nurul Anati Ismail, selamat melahirkan bayi perempuan pada jam 5.41 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

Menurut Fedtri, isterinya melahirkan anak mereka menerusi pembedahan selepas mengalami pendarahan.

“Memang saya sedikit cemas dan bimbang, apatah lagi isteri pernah dua kali keguguran sebelum kami menyambut kelahiran anak ketiga ini.

“Ketika kandungan memasuki minggu ke-32, dia turut mengalami pendarahan dan beberapa kali dimasukkan ke hospital manakala ketika itu saya sibuk menjalani penggambaran program Ramadan TV3 berjudul Madrasah di beberapa negara seperti Kemboja, Thailand, Indonesia dan China.

“Mengikut perkiraan doktor, isteri sepatutnya bersalin pada 5 Jun ini tetapi ketika kandungan mencecah 37 minggu, sekali lagi dia mengalami pendarahan.

“Doktor mengambil keputusan melakukan pembedahan memandangkan usia kandungan sudah matang,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.

Kata Fedtri, kehadiran anak ketiga itu adalah rahmat cukup besar bagi mereka berdua apabila si kecil dilahirkan pada hari pertama umat Islam seluruh dunia menyambut puasa.

“Saya dilahirkan pada 1 Syawal dan anak saya ini pula pada 1 Ramadan. Secara kebetulan, dia lahir sempena ulang tahun perkahwinan kami yang keenam, hari ini.

“Buat masa ini, saya belum lagi memikirkan nama untuk bayi perempuan kami ini,” katanya yang diijabkabulkan dengan Nurul Anati pada 28 Mei 2011.

Pasangan terbabit turut mempunyai dua cahaya mata lain iaitu Indah Sutera Jannah, 5, dan Ahmad Willdan Arjuna, 3.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here